Heroin bernilai RM35,000 dirampas dari penjenayah tegar

Polis menahan seorang lelaki bersama peket berisi serbuk dipercayai heroin seberat 1,055 gram dalam satu rondaan cegah jenayah di Simpang Waha di sini hari ini.

Ketua polis daerah, Supt Osman Muhammad Sebot berkata lelaki berusia 30tahun yang ditahan kira-kira pukul 8 pagi itu dikenal pasti sebagai seorang penjenayah tegar yang amat dikehendaki oleh pihak polis.

“Semasa kejadian, pasukan polis menjumpai sebuah kereta bercermin gelap terbabas di kiri jalan dengan enjinnya masih hidup.

“Ketika pihak polis menghampiri kenderaan, lelaki berkenaan cuba mengundurkan keretanya sehingga memaksa polis memecahkan cermin kereta itu untuk menahannya,” katanya kepada pemberita.

Selain dadah yang dianggarkan bernilai RM35,000 itu, turut dijumpai ialah sebuah penimbang digital serta wang tunai RM9,409, S$78 (mata wang Singapura)dan IDR2,100 (mata wang Indonesia) sebilah pedang samurai bersarung, peralatanpecah rumah dan pelbagai plat kenderaan termasuk pendaftaran Singapura.

Ujian air kencing mendapati lelaki yang sudah berkeluarga itu positif syabu dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Menurut Osman suspek pernah dikenakan sekatan di Slim River, Perak pada 2010 di bawah Seksyen 6(3) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas)1985 namun melanggar syarat dengan melarikan diri selepas tiga bulan di sana. Osman percaya lelaki itu bersembunyi di sekitar daerah ini dan terlibat dalam tiga kes samun, tiga kes mendatangkan kecederaan, satu kes ugutan terhadap satu keluarga dan kegiatan mencuri kereta mewah.

 

— BERNAMA

 

 

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE