SURAT: MBPJ belanja RM210,000 untuk pos pengawal

SURAT: MBPJ belanja RM210,000 untuk pos pengawal

Kos pembinaan bagi 7 pondok atau pos pengawal hanya berjumlah kurang lebih RM156,700 sahaja. Ini bermakna satu pos pengawal hanya berharga RM 22,000 sahaja, ujar Zainun.

Gambar hiasan

Adalah dengan hormatnya merujuk kepada kenyataan yang disiarkan dalam portal Free Malaysia Today-Online News bertarikh 11 Mac 2011 mengenai tajuk di atas.

Dalam satu kenyataan, Pegawai Perhubungan Awam, Unit Perhubungan Awam dan Korporat MBPJ,  Zainun Zakaria  berkata berita yang disiarkan adalah langsung tidak tepat dan boleh mengelirukan pembaca portal ini.

Kelihatan berita yang disiarkan lebih kepada tujuan menjatuhkan imej pihak berkuasa tempatan (PBT) khasnya dan Kerajaan Negeri Selangor amnya.

Berita tersebut lebih kepada andaian penulis dengan berpandukan risalah Bajet 2011 yang diedarkan oleh MBPJ untuk penduduk Petaling Jaya. Provokasi sengaja dicetuskan dengan berita yang langsung tidak tepat.

Sukacita dinyatakan Bajet 2011 MBPJ adalah bajet yang teratur dari segi persiapan dan prosedur.

Proses penyediaan bajet adalah dibuat mengikut peraturan, dibincang dalam mesyuarat, dibentangkan kepada orang ramai (NGO), Persatuan Penduduk, Rukun Tetangga ) dibawa semula ke Mesyuarat Penuh Khas Majlis juga dihadiri oleh pihak media dan kemudian dibentangkan kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk kelulusan.

Ianya lebih telus dari apa yang disangkakan oleh penulis. Seandainya MBPJ cuba menyembunyi sesuatu fakta sudah tentu secara logiknya risalah Bajet 2010 MBPJ tidak akan diedarkan.

Dakwaan penulis yang menyatakan bahawa pembinaan pos pengawal yang berukuran 18 kaki x 20 kaki bernilai RM 210,000 sebuah adalah keterlaluan dan tidak masuk akal.

MBPJ melihat ianya lebih berbau hasutan, fitnah dan provokasi.

Sukacita dimaklumkan pembinaan pos pengawal tersebut dibuat melalui kaedah pelantikan kontraktor melalui proses sebutharga terbuka dan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Kos pembinaan bagi 7 pondok  atau pos pengawal hanya berjumlah kurang lebih RM156,700 sahaja. Ini bermakna 1 pos pengawal hanya berharga RM 22,000 sahaja.

Sebanyak tujuh lokasi premis Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang telah dikenalpasti memerlukan pos kawalan keselamatan seperti maklumat berikut

Pintu keluar ibu pejabat MBPJ di ibu pejabat MBPJ, muzium MBPJ di Taman Jaya, Kompleks Sukan Astaka di Jalan Utara, klinik MBPJ di jalan Sungai Jernih Seksyen 8/1, dewan dan kompleks sukan jalan Bandar Utama 3/1, tapak semaian Kelana Jaya di Jalan SS 7/17 dan Kompleks Sukan Kelana Jaya di Jalan SS 7/15.

Penulis adalah dinasihatkan untuk mendapatkan fakta yang betul apabila menyiarkan berita ini supaya penulisan yang dihasilkan lebih profesional.