Johor: berita Pasukan Tindakan Kebersihan dan pluralisme

Johor: berita Pasukan Tindakan Kebersihan dan pluralisme

Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan geran RM2 juta untuk 14 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini bagi memantapkan Pasukan Tindakan Kebersihan PBT yang ditubuhkan 1 Okt tahun lepas.

Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan geran RM2 juta untuk 14 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini bagi memantapkan Pasukan Tindakan Kebersihan PBT yang ditubuhkan 1 Okt tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri Datuk Ahmad Zahri Jamil berkata peruntukan itu bagi membantu pembelian kenderaan, peralatan penyelenggaraan dan pembersihan dengan jumlah bantuan yang dicadangkan adalah mengikut keupayaan kewangan sesebuah PBT.

“Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) dicadang menerima bantuan sebanyak RM300,000 manakala Majlis Perbandaran Muar (MPM); Majlis Perbandaran Kluang (MPK); Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan Majlis Daerah Mersing (MDS) masing-masing dicadang menerima bantuan sebanyak RM150,000,” katanya ketika menjawab soalan Baderi Dasuki (BN-Panti) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini hari ini.

Katanya Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP); Majlis Perbandaran Kulai (MPKU); Majlis Daerah Tangkak (MDT); Majlis Daerah Yong Peng (MDYP); Majlis Daerah Labis (MDL); Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) dan Majlis Daerah Mersing masing-masing dicadang mendapat peruntukan RM100,000.

Peruntukan RM50,000, masing-masing dicadangkan kepada Majlis Perbandaran Johor Baharu Tengah (MPJBT), Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) dan Majlis Daerah Pontian (MDP).
Ahmad Zahri berkata Pasukan Tindakan Kebersihan ditubuhkan bertujuan
melaksana dan memantau pelaksanaan aktiviti pengurusan sisa pepejal dan
pembersihan awam dengan sempurna di jalan-jalan utama dan kawasan taman
perumahan.

“Skop kerja utama pasukan itu meliputi pungutan sampah dan kebersihan awam, sampah longgok, pembersihan parit longkang, pemotongan rumput, penyelenggaraan lampu jalan dan kebersihan taman permainan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Johor Zainal Abidin Osman berkata kerajaan negeri sedang memantau dan menjalankan usaha menangani fahaman pluralisme iaitu menyamakan agama Islam dengan agama lain, supaya tidak bertapak di Johor.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa memberi penekanan serius terhadap bahaya fahaman tersebut melalui pelbagai sesi ceramah, seminar dan khutbah di samping mengedarkan risalah kepada orang ramai.

“Sehingga ke hari ini, kerajaan negeri tidak menerima sebarang aduan berkaitan kumpulan yang berpegang kepada fahaman ini di negeri ini,” katanya menjawab soalan Datuk Abdul Aziz Sapian (BN-Nusajaya).

– Bernama