Jeruk Pulau Pinang ekspot bertaraf dunia?

Jeruk Pulau Pinang ekspot bertaraf dunia?

Syarikat memproses jeruk buah-buahan terkenal di Pulau Pinang, Jeruk Madu Pak Ali Enterprise akan memperluaskan perniagaannya ke Sabah tidak lama lagi melalui kerjasama dengan sebuah syarikat di negeri itu.

Pemilik syarikat berkenaan, Alias Ali berkata syarikat itu akan menjalinkan kerjasama dengan syarikat Sabtradf Enterprise dan perjanjian kerjasama itu dijangka akan dimeterai Mei ini.

“Kita dalam proses perbincangan dengan syarikat berkenaan berhubung perkara itu.

“Kerjasama ini adalah dalam bentuk pemindahan teknologi di mana syarikat di sana akan menyediakan kilang untuk memproses jeruk dan kita akan sediakan kepakaran kita membuat jeruk,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Katanya syarikat di Sabah itu berminat menceburi perniagaan berkenaan bagi memberi nilai tambah kepada produk hiliran di negeri itu.

“Pihak berkenaan berminat untuk membangunkan produk hiliran mereka di samping membantu menjana pendapatan penduduk tempatan,” katanya.
Beliau yang merupakan anak kepada Pak Ali, pengasas Jeruk Madu Pak Ali, berkata ketika ini, jeruk madu itu dipasarkan ke seluruh Semenanjung Malaysia melalui satu lagi syarikat miliknya Kunci Kreatif Enterprise.

“Syarikat Jeruk Madu Pak Ali Enterprise terlibat dalam memproses jeruk dan Syarikat Kunci Kreatif Enterprise pula memasarkannya,” katanya yang menjalankan perniagaan jeruk buah-buahan sejak 1985.

Di Sarawak pula, katanya, belum ada sebarang cadangan untuk mengilangkan jeruk di negeri itu, sebaliknya produk jeruk yang telah siap diproses akan dihantar dari Pulau Pinang untuk dipasarkan.

Ketika ini, katanya syarikat berkenaan hanya mempunyai sebuah kilang memproses jeruk di Tasek, Seberang Perai Selatan.

Selain itu, katanya terdapat pihak dari luar negara juga yang telah menyatakan minat untuk menceburi bidang ini.

“Terdapat wakil dari Madinah yang datang ke sini dan merasa buah zaitun yang kita jeruk, mereka tertarik kerana buah zaitun itu tidak kelat seperti jeruk buah zaitun yang terdapat  di pasaran ketika ini dan mereka juga telah menyatakan minat untuk membuka kilang di sana,” katanya.
Katanya, ketika ini, syarikatnya mengeluarkan 30 tan jeruk pelbagai jenis buah-buahan setiap bulan untuk pasaran di Semenanjung Malaysia.
Jeruk Madu Pak Ali dijual pada harga antara RM8 dan RM15 sekilogram.

Beliau berkata syarikat itu juga mengeluarkan produk sampingan antaranya jus, minyak angin, sabun, krim muka yang berasaskan buah pala.
 — Bernama