Di sebalik sambutan Valentine

Di sebalik sambutan Valentine

Pelbagai pandangan dan kenyataan dikeluarkan daripada semua pihak berusaha menyekat dan menasihati umat Islam supaya tidak menyambut hari Valentine jatuh pada hari ini.

Pelbagai pandangan dan kenyataan dikeluarkan daripada semua pihak berusaha menyekat dan menasihati umat Islam supaya tidak menyambut hari Valentine jatuh pada hari ini.

Antara pandangan dan kenyataan diterima daripada orang perseorangan, Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM), NGO dan kerajaan negeri Selangor.

Salah seorang mahasiswa Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT), Siti Alleyza Sa’adun, 22, berpendapat sambutan ini tidak wajar diraikan oleh golongan remaja.

Menurutnya, sambutan hari kekasih ini menyebabkan golongan remaja terjebak ke kancah maksiat kerana bertentangan dengan prinsip dan amalan agama Islam.

“Tak payahlah kita (remaja) menyambut hari Valentine ini, apa yang saya faham sambutan Valentine ini merupakan acara klimaks kerana hari sebelumnya ada sambutan hari tanpa seluar dalam.

“Ia sekaligus menggalakkan aktiviti zina khususnya mereka yang bukan muhrim, kalau tak percaya dalam tempoh sembilan atau sepuluh bulan mendatang sekiranya sambutan Valentine tidak disekat, kita akan dengar kes pembuangan bayi,” katanya kepada Komunitikini, hari ini.

Berlainan pula pendapat dengan pekerja swasta, Amir Hamidi Amha, 30, berkata tiada kesalahan untuk mereka yang dilamun cinta untuk meluangkan masa bersama pada tanggal 14 Februari.

Menurutnya, setakat untuk keluar makan malam ‘candlelight’, atau tengok wayang, memanglah tidak salah.

“Jika difikirkan dengan lebih mendalam, pada hari lain pun, ramai pasangan akan keluar dan makan bersama atau pun memberi bunga terutamanya sempena sambutan hari lahir, mahupun ulangtahun mereka,” ujarnya lagi.

“Yang menimbulkan masalah adalah apabila pasangan-pasangan ini lupa akan had pergaulan antara seorang lelaki dan perempuan, tegasnya.

Tambahnya, usah katakan muslim sahaja, malah, agama-agama yang lain dan ibu-bapa juga pasti kurang senang  jika sanak saudara mereka berpeleseran melakukan perkara sumbang dengan individu yang belum ada apa-apa ikatan dengan mereka.

“Sebaliknya  faedahnya hanyalah kepada tauke-tauke kedai yang menaikkan harga barang sempena hari kekasih, dan juga mereka yang bernasib baik untuk menerima hadiah sempena hari tersebut.

“Selain itu, saya tak nampak apa apa faedah pun untuk meraikan sambutan Valentine ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata amalan merayakan Hari Valentine atau Hari Memperingati Kekasih yang tiba setiap 14 Februari tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

Menurutnya, fatwa telah dikeluarkan menerusi kata putus Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia yang bersidang buat kali ke-71, hampir enam tahun yang lalu berkaitan Valentine Day.

“Ia bukan persoalan atau isu asal tempat kedatangan sesuatu sambutan sesuatu perayaan dan keraian itu, tetapi amalan atau ritual yang dilakukan untuk merayakan hari-hari tertentu itu,” katanya.

Wan Mohamad berkata Islam bukan agama yang menyekat atau menghalang untuk penganutnya meluahkan kasih sayang tetapi apa yang disekat adalah perbuatan maksiat yang dilakukan semasa menyatakan kasih sayang itu.

Manakala, Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyeru supaya fatwa pengharaman sambutan Hari Valentine diwartakan di seluruh negara.

Presidennya Zainul Rijal Abu Bakar berkata, langkah itu perlu dilakukan “bagi membolehkan pihak berkuasa agama mengambil tindakan lebih tegas.

Katanya, masih terdapat sebahagian umat Islam yang menyambut hari berkenaan walau ianya telah diputuskan sebagai “haram” oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada November 2005.

Dalam perkembangan berlainan, rentetan kejayaan Kempen Anti Zina siri satu dan dua sebelum ini telah membuatkan kerajaan negeri Selangor meneruskan kempen tersebut sehinggalah isu gejala sosial yang melanda masyarakat dapat dibanteras.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sejak kempen ini diperkenalkan oleh kerajaan negeri, ia telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai pihak.

“Saya berasa amat gembira apabila diberitahu sambutan anti zina kedua yang diadakan pada malam sambutan tahun baru yang sama, amat menggalakkan, telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 5,000 sukarelawan,” katanya.

Beliau yang bercakap ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Anti Zina Siri 3 yang diadakan di Dataran Shah Alam sebagai simbolik pelancaran ini Menteri Besar telah melepaskan sekumpulan konvoi yang disertai oleh 80 buah kereta dan 30 buah motosikal berkuasa tinggi.

Kumpulan yang dianggarkan kira-kira 500 orang ini akan berpusing seluruh Shah Alam sebagai “tanda amaran” untuk memberitahu orang awam bahawa kempen ini telah bermula sambil membunyikan hon.

Kempen siri kali ketiga ini mempunyai tiga fasa, iaitu fasa pertama adalah majlis pelancaran oleh Menteri Besar, manakala fasa kedua pula akan bermula pada jam 8 malam hingga 2 pagi, melibatkan sukarelawan yang terdiri daripada NGO yang diketuai oleh Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor akan mengedarkan risalah mengenai bahaya zina kepada masyarakat.

Antara NGO yang terlibat adalah Briged Amal, Angkatan Belia Malaysia (ABIM), Perkim (Selangor), Bakewanis dan lain-lain lagi.

Fasa ketiga bermula jam 2 pagi hingga 6 pagi, di mana akan menggempur beberapa lokasi dan premis yang telah dikenalpasti untuk diperiksa, kempen ini melibatkan semua jabatan dan agensi kerajaan, antaranya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain jabatan yang berkaitan dalam penguatkuasaan.

Kempen Anti Zina merupakan salah satu aktiviti yang dirancang oleh Program Generasi Idaman Selangor (GeMS) yang merupakan satu program khusus yang diwujudkan di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Khalid berkata kerajaan negeri sentiasa komited dalam menangani isu gejala sosial di Selangor apabila kempen seumpama ini dijalankan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi mewujudkan persekitaran yang aman dan tenteram.