Merpertingkatkan perkhidmatan feri Labuan-Menumbok

Merpertingkatkan perkhidmatan feri Labuan-Menumbok

Projek pembaikan dan menaik taraf jeti yang menelan kos sebanyak RM5.8 juta adalah selaras dengan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) untuk memberikan keselesaan kepada rakyat,

Kualiti perkhidmatan feri kenderaan diantara Wilayah Persekutuan Labuan dan Menumbok, Sabah dijangka akan mengalami perubahan yang ketara dengan siapnya terminal feri kenderaan yang baru pada pertengahan Februari ini serta penambahan operator baru bagi kedua laluan ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Rahim Bakri, telah mengesahkan perkara ini “projek pembaikan dan menaik taraf jeti yang menelan kos sebanyak RM5.8 juta adalah selaras dengan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) untuk memberikan keselesaan kepada rakyat,” ujar beliau sempena lawatan kerja sehari ke Labuan, kelmarin.

Bagi memperbaiki mutu perkhidmatan feri kenderaan antara dua destinasi ini difahamkan bahawa Kerajaan Negeri Sabah telah mengemukakan surat tawaran kepada tiga syarikat pengendali feri ro-ro iaitu Syarikat Mainland Link Sdn Bhd, Syarikat Jutabonus Sdn Bhd dan Labuan Ferry Corporation Sdn Bhd bagi kebenaran hak mendarat di Terminal Feri Menumbok, Sabah. Tawaran juga diberikan kepada Syarikat ISRO Shipping Sdn Bhd bagi mengendalikan feri penumpang untuk kedua destinasi ini.

Datuk Rahim Bakri, juga menegur agar masalah keselamatan penumpang bot laju yang beroperasi antara Labuan dan Menumbok ini dapat dipertingkatkan dengan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat samada dari Jabatan Laut Wilayah Persekutuan dan Jabatan Pelabuhan & Dermaga Sabah agar tidak berlaku lebihan penumpang didalam bot-bot laju ini.

Melalui tinjauan oleh Komunitikini kepada orang ramai mengenai perkara ini mendapati, mereka amat berharap apa yang diwar-warkan ini menjadi kenyataan dan bukan hanya cerita manis kepada rakyat. Terutama pengguna perkhidmatan ini yang telah lama menahan rasa ketidakselesaan dengan perkhidmatan hanya satu operator ini. Ini kerana masalah kerosakkan feri, jadual perjalanan yang tidak tepat, lebihan penumpang dan monopoli tambang sewenang-wenangnya amat memberi tekanan kepada pengguna.

Diharapkan selepas ini penumpang di Labuan dan juga Sabah dan Sarawak akan mempunyai banyak pilihan untuk perkhidmatan ini kelak samada menggunakan feri “ro ro”, feri penumpang dan bot laju untuk bergerak di dua destinasi ini.

Ridzuan