Mayat lelaki ditemui berulat

Mayat seorang lelaki, dipercayai mati dibunuh, ditemui dalam keadaan berulat di tepi sebuah kolam di Kampung Sungai Ruan, Raub petang semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Supt Mohd Haris Daud berkata mayat tanpa sebarang identiti itu dijumpai lengkap berpakaian oleh penduduk kampung berkenaan kira-kira pukul 5.45 petang.

“Kita percaya mangsa dibunuh berdasarkan daripada beberapa kesan tikaman di bahagian leher dan dada serta cedera di bahagian anggota badan lain.

“Warga tempatan berkenaan dipercayai seorang penagih dadah berikutan penemuan peralatan menghisap dadah di sisi mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Haris berkata hasil bedah siasat mendapati lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an meninggal dunia sejak lima hari lepas akibat tikaman dengan objek tajam.

Belum ada sebarang tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya.

-Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE