Mangsa-mangsa banjir membuat tuntutan insurans

Syarikat insurans mula dibanjiri tuntutan oleh mangsa-mangsa banjir yang membuat pinjaman perumahan Perbendaraan Negara dan di Perlis kira-kira 300 penjawat awam telah membuat tuntutan insurans bencana alam itu.

Etika Insurans dan Takaful cawangan Kangar, satu-satunya panel insurans yang melindungi pinjaman penjawat awam di Perlis menyifatkan jumlah mangsa yang membuat tuntutan itu agak tinggi kerana kejadian banjir besar itu.

Pengurusnya, Umi Kalsom Mat Isa berkata, pihaknya akan membuat penilaian sebelum membuat sebarang keputusan mengenai tuntutan itu.

Menurutnya, syarikat insurans itu hanya mengambil kira kos kerosakan bangunan tetapi tidak membabitkan perabot atau peralatan di dalam kediaman.

“Kami hanya melindungi bangunan dan hanya menilai kerosakan struktur bangunan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mengenai jumlah tuntutan terkumpul, Umi Kalsom berkata, ia sebenarnya bergantung kepada penilaian yang akan dibuat oleh pihak syarikat.

Perbendaharaan Malaysia dalam kenyataannya hari ini menasihati mangsa banjir di Kedah dan Perlis yang merupakan penjawat awam yang ada pinjaman perumahan Perbendaharaan supaya mengemukakan tuntutan insurans bencana alam daripada panel insuran masing-masing.

Tuntutan meliputi kerosakan struktur bangunan, pecah rumah dengan tujuan mencuri semasa kejadian banjir, tangki air pecah, kecederaan orang awam (pihak ketiga) akibat kemalangan dalam rumah, perbelanjaan hotel atau rumah sewa dalam tempoh baik pulih.

Mereka juga boleh menuntut pendapatan sewa rumah kerana tiada penyewa dalam tempoh rumah dibaiki atau enam bulan yang mana terdahulu.

Mangsa boleh membuat tuntutan dengan mengisi borang yang ditetapkan bersama dokumen-dokumen yang perlu dilengkapkan bagi prosedur tuntutan.

– Bernama