Peluang `baby` bebas tuduhan edar dadah di Afrika Selatan cerah

Peluang `baby` bebas tuduhan edar dadah di Afrika Selatan cerah

Peluang `baby` mangsa sindiket `keldai dadah` untuk dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 1.2 kilogram di Cape Town Afrika Selatan sangat cerah.

Peluang Nur Dhiya Ain Rosman mangsa sindiket `keldai dadah` untuk dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 1.2 kilogram di Cape Town Afrika Selatan sangat cerah, kata Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno.

Pengerusinya, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata daripada percakapan dan maklumat yang diterima daripada peguam di sana, beliau sangat yakin bahawa adik Nur Dhiya akan dibebaskan.

“Sekiranya kita boleh membuktikan di mahkamah dia tidak mempunyai niat dan dijadikan mangsa sindiket sebagai keldai dadah, secara peribadinya saya yakin peluang itu sangat cerah,’ katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Di majlis itu, beliau turut melancarkan Tabung Bantuan Guaman bagiĀ  perbicaraan mahkamah dihadiri ibu bapa Nur Dhiya.

Tambahnya, pihaknya menghantar peguam (Probono) yang bertindak sebagai pemerhati untuk mengikuti sepanjang perbicaraan yang akan diadakan pada 15 Oktober ini.

“Peguam tersebut, Firdaus Yaacob akan memaklumkan kepada semua termasuk pihak media selepas mengikuti perbicaraan itu,” jelasnya.

Muhd Khairun bersalaman dengan bapa Nur Dhiya selepas melancarkan Tabung Bantuan Guaman

Sementara itu, ibu gadis malang, Roslah Abdul Jani berkata pada hari Nur Dhiya ditahan beliau sempat bercakap menerusi telefon bersama anaknya selama 3 minit.

Menurutnya, anaknya yang lebih mesra dengan panggil `baby` oleh ahli keluarganya meluahkan rasa kesal dan sedih kerana tidak menyangka perkara ini akan berlaku.

“Dia sendiri pun tidak tahu apa yang berlaku kepada dirinya.Dia tidak tahu kenapa ditahan oleh pihak berkuasa di sana sehinggalah beliau terkejut apabila mendapati pemeriksaan ke atas beg yang dibawanya mempunyai dadah.

“Anaknya memberitahu menghadapi kesukaran di pusat tahanan tersebut dan meminta supaya diasingkan ke bilik lain kerana memberitahu di pusat tahanan setiap satu bilik mempunyai 10 orang tahanan,” katanya lagi.

Komunitikini difahamkan, Nur Dhiya yang dilarikan ke Afrika Selatan pada 10 Ogos lepas, telah ditahan oleh pihak berkuasa negara itu empat hari kemudian di sebuah hotel di Cape Town kerana dipercayai memiliki dadah jenis syabu seberat 1.2 kilogram.

Gadis malang itu kini ditahan di Pusat Tahan Ravensmead dan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Belleville atas tuduhan memiliki dadah.

Nur Dhiya sebenarnya dijanjikan pekerjaan sebagai pemandu pelancongan dengan gaji lumayan oleh sindiket tersebut menyebabkan gadis berkenaan terpedaya dengan mudah.

Ia merupakan kes penyeludupan dadah pertama seumpamanya di Afrika Selatan melibatkan orang Malaysia dan jika dididapati bersalah gadsis tersebut boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun.

Terdahulu, laporan akhbar pada 23 Ogos lalu dipetik berkata perbicaraan kes Nur Dhiya Ain Rosman atas kesalahan dadah di Cape Town Afrika Selatan yang dijadual jam 9 pagi, pada Isnin (waktu Cape Town) mungkin ditangguh kerana tiada peguam mewakilinya.

Muhd Khairun berkata pihaknya telah menemui beberapa peguam namun mereka enggan mewakili gadis tersebut atas alasan tersendiri.

“Kita juga percaya faktor kegagalan Nur Dhiya untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris di samping ketiadaan penterjemah yang sesuai akan menyukaran proses perbicaraan berjalan dengan lancar,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya melantik peguam, Stevie Dreyer bagi memastikan pembelaan gadis itu di mahkamah dibantu daripada segenap sudut dengan adil, lebih-lebih lagi dalam konteks komunikasi.