Pengguna, pengusaha pengangkutan awam terus menderita…

Pengguna, pengusaha pengangkutan awam terus menderita…

Pengguna dan pengusaha pengangkutan awam di negara ini akan terus ‘menderita’ kerana terlalu banyak pindaan dasar pengangkutan manakala ‘menterinya pula asyik bertukar-tukar’.

Pengguna dan pengusaha pengangkutan awam di negara ini akan terus ‘menderita’ kerana terlalu banyak pindaan dibuat terhadap dasar pengangkutan yang ada manakala ‘menterinya pula asyik bertukar-tukar’, kata Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia.

Sehubungan itu, presidennya, Datuk Mohamad Ashraf Ali mendesak kerajaan supaya mewujudkan satu dasar sistem pengangkutan awam yang mampan di negara ini.

Katanya, berdasarkan dasar sedia ada, terlalu banyak pindaan dilakukan dan tiada penambahbaikan terhadap sistem pengangkutan awam sejak 20 tahun lalu.

Menurutnya, langkah kerajaan menetapkan sistem pengangkutan awam sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) serta indeks penunjuk aras (KPI) juga tidak memberikan apa-apa kesan.

“Hanya pemimpin yang tidak terlibat dalam politik sahaja boleh menyelesaikan masalah ini. Bagaimana sistem pengangkutan awam di negara ini hendak meningkat, sekiranya pindaan dan menteri asyik bertukar-tukar.

“Jangan terkejut, kerana sehingga hari ini, kita tidak mempunyai satu dasar pengangkutan awam di negara ini.

“Siapa yang menderita, hanya pengusaha bas dan pengguna pengangkutan awam yang menderita,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Mohamad Ashraf berkata sistem pengangkutan awam di negara ini jauh ketinggalan berbanding negara luar seperti Singapura dan Jepun.

“Apakah anda ingin melabur dalam sesuatu perniagaan, sedangkan anda sendiri tidak tahu hasil pulangannya.

“Contohnya, sebagai pengusaha bas adakah saya akan membeli sebuah bas yang dahulunya berharga RM60,000 sedangkan pada hari ini, harganya melonjak kepada RM300,000.

“Adakah saya akan melabur sekiranya ia tidak memberikan pulangan setimpal kerana kekurangan penumpang dan kerajaan sendiri tidak membantu menyelesaikan perkara ini,” tegasnya.

Malah, ujarnya, pengguna telah membangkitkan beberapa isu mengenainya dan ia sewajarnya diketengahkan “kerana mereka (pengguna) menyumbang sumber pendapatan utama kepada pengusaha bas di negara ini”.

“Cukuplah, kami bersepakat tidak mahu pengguna kemudahan awam terus menderita dan menggesa kerajaan duduk bersama untuk mendengar cadangan pengusaha dan pengguna bagi menyelesaikan isu ini.

“Pada masa ini, kira-kira 20 pengusaha bas gulung tikar dan terpaksa menanggung kerugian berjuta-juta ringgit,” ujarnya.

Subsidi diesel

Sementara itu, Mohamad Ashfar meminta kerajaan menghentikan pemberian kuota subsidi diesel bulanan sebanyak 5,000 liter bagi bas henti-henti dan 9,000 liter bagi bas ekspres.

“Saya mencadangkan supaya kuota subsidi diesel bulanan diberi berdasarkan kepada jarak setiap kilometer perjalanan ulang alik bas awam dan ekspres dalam tempoh sebulan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N Marimuthu turut mengemukakan beberapa cadangan bagi menambah baik sistem pengangkutan bas awam di negara ini.

Antaranya, tambah beliau, ialah perkhidmatan yang boleh dipercayai, masa perjalanan yang lebih singkat, bas dan kemudahan yang selesa, maklumat terkini tentang masa perjalanan bas dan laluan pejalan kaki.

“Apa yang diperlukan adalah komitmen politik yang serius terhadap isu ini di mana kerajaan harus menangani sebarang isu yang timbul secara pragmatik dan telus.

“Selain itu, satu sistem pengawalan dan penilaian yang berkesan harus diwujudkan agar segala isu yang timbul dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Marimuthu berkata dalam satu kajian yang dijalankan di seluruh negara, pengguna Malaysia memilih pengangkutan awam sebagai isu kedua terpenting yang dihadapi mereka, selepas kenaikan harga makanan.

“Justeru itu, pengguna di negara ini berhak untuk mendapatkan sistem pengangkutan yang cekap dan mampu dibayar untuk keselesaan kehidupan mereka,” ujarnya.

Komunitikini difahamkan, bilangan aduan orang ramai yang menggunakan khidmat pengangkutan awam di negara ini semakin meningkat dengan purata 10 kes sehari, menurut Pusat Khidmat Aduan Pengguna Kebangsaan (NCCC).

Pegawai undang-undang kanannya, M Matheevani berkata, dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, NCCC menerima 1,160 aduan berbanding 2,024 kes sepanjang tahun lepas.

Kebanyakan aduan yang diterima, tambahnya, adalah berhubung perkhidmatan penerbangan tempatan, Aliran Transit Ringan (LRT), khidmat tren komuter dan bas awam.

“Kami menerima pelbagai aduan setiap hari dan antaranya kekerapan kelewatan, gangguan perkhidmatan, rosak di tengah landasan, kekerapan gangguan bagi kad kaunter, masalah kad Touch & Go dan lebihan caj oleh konduktor selain khidmat pelanggan yang buruk, tiada pampasan atau mengembalikan wang kepada pengguna jika kesilapannya adalah di pihak penyedia perkhidmatan,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang ditubuhkan pada 3 Jun lalu memainkan peranan utama dalam meningkatkan sistem pengangkutan awam tanah air, yang merupakan satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Nasional yang ditetapkan oleh kerajaan.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, SPAD yakin dapat mencapai sasaran 25 peratus penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang menjelang 2012 jika adanya komitmen dan bantuan dari pengusaha pengangkutan awam.