Polis tumpas sindiket edar syabu bernilai RM550,000

Polis tumpas sindiket edar syabu bernilai RM550,000

Dadah dirampas itu merupakan jenis yang berkualiti tinggi dan sedia untuk dipasarkan, kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad pada sidang media, pagi tadi.

Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai kira-kira RM550,000 di tempat parkir kereta di sebuah kompleks membeli-belah di Damansara Ahad lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 5 petang itu, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah menahan seorang lelaki warga Indonesia, dua lelaki tempatan serta seorang wanita warga China.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad berkata, lelaki berusia 41 tahun itu dipercayai sedang berurusan untuk mengedar dadah jenis syabu.

Arjunaidi berkata, dua lelaki tempatan itu berusia 29 dan 41 tahun manakala wanita China itu berusia 31 tahun.

“Polis kemudian memeriksa kereta dinaiki suspek dan hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 2.6 kilogram (kg) syabu disembunyikan di dalam dua paket yang diletakkan di dalam sebuah kotak.

“Dadah dirampas itu merupakan jenis yang berkualiti tinggi dan sedia untuk dipasarkan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat polis daerah itu, pagi tadi.

Menurutnya, dadah berkenaan dipercayai diperolehi dari sindiket luar negara dan untuk pasaran tempatan.

Katanya, kedua-dua warga asing yang ditahan itu dipercayai sering keluar masuk ke negara ini sebagai pelancong.

Arjunaidi berkata, ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif syabu dan direman sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.