Kajian:Penduduk PJ mahu PBT pantau tahap kebersihan restoran

Kajian:Penduduk PJ mahu PBT pantau tahap kebersihan restoran

Penduduk Petaling Jaya mahu agensi penguatkuasaan itu memantau kebersihan di restoran mamak berhawa dingin, tidak berhawa dingin serta restoran makan segera.

Satu kajian dijalankan oleh  badan bebas – Merdeka Center mendapati penduduk Petaling Jaya mahu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memantau kebersihan di restoran mamak berhawa dingin, tidak berhawa dingin serta restoran makan segera, kata Pengarah Kajian Merdeka Center, Tan Seng Keat.

Menurutnya, menerusi kajian bancian pada tahun lalu, sebanyak 30 peratus penduduk Petaling Jaya  pernah mengalami keracunan makanan ketika menikmati hidangan di restoran mamak.

“Manakala 15 peratus lagi mengalami keracunan makanan di kedai makan dan gerai tepi jalan sementara 12 peratus lagi di kafe,” ujarnya.

Jelasnya, bancian itu dijalankan ke atas penduduk  Petaling Jaya  usia peringkat 18 hingga 61 ke atas melibatkan etnik Melayu 39 peratus, Cina 43 peratus, India 15 peratus dan lain-lain 3 peratus.

“Manakala, seramai 410 penduduk berlainan demografi, bangsa dan latar belakang berusia 18 tahun ke atas ditemuramah menerusi panggilan telefon,” katanya.

Seng Keat berkata, lokasi bancian penduduk meliputi kawasan  Seri Setia, Taman Medan, Bukit Gasing, Kg Tunku, Damansara Utama, Bukit Lanjan dan Kota Damansara.

See also  Volunteers unite for largest Earth Day cleanup in Penang

“Kajian itu merangkumi restoran makanan segera, restoran mamak berhawa dingin dan tidak berhawa dingin. medan selera, kedai makan dan warung makan di tepi jalan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kg Tunku, Lau Weng San berkata  kesedaran penduduk mengenai tahap kebersihan masih dibawah garis panduan.

“Bagaimanapun kesedaran di kalangan penduduk terhadap sistem penguatkuasaan saman, denda dan menutup premis makanan mengabaikan aspek kebersihan semakin meningkat,” katanya ditemui pemberita di ibu pejabat DAP, pagi tadi.

Beliau yang juga Setiausaha DAP Selangor itu mendedahkan maklumat itu menerusi respond bancian penduduk  pada 10 hingga 13 Jun lalu, melibatkan kerjasama Merdeka Centre.

Weng San berkata, sebanyak 61 peratus penduduk Petaling Jaya berpuas hati dengan keseluruhan tahap kebersihan premis makanan dibawah penyeliaan agensi penguatkuasaan majlis daerah itu.

Tambahnya, menerusi bancian itu, mendapati tahap kepuasan penduduk berhubung cadangan usaha penambahbaikan kebersihan premis makanan daerah ini meningkat sebanyak 20 peratus.

See also  Malaysians overwhelmingly support end to single-use plastics

“Manakala 4 peratus lagi tidak berpuas hati dikatakan berpunca daripada kelemahan mutu perkhidmatan syarikat kontraktor pembersihan gagal melaksanakan tugas.

“Saya berharap menerusi kajian dijalankan itu, dapat mempertingkatkan lagi maklum balas, peraturan dilaksanakan agensi penguatkuasaan dan persepsi penduduk terhadap mutu perkhidmatan kebersihan premis makanan di Petaling Jaya,”  katanya.

Menurutnya, apabila satu dasar dilaksanakan di peringkat negeri atau majlis daerah jarang siasatan (pandangan) diperolehi di peringkat akar umbi.

“Sehubungan itu, satu pungutan suara, pendirian dan pandangan penduduk Petaling Jaya perlu diambil kira bagi memastikan tahap kebersihan premis makanan dipantau sepenuhnya,” jelasnya.

Beliau berkata  kajian pendapat ini sangat komprehensif sekali gus dapat mengkaji semula sistem pelaksanaan dalam usaha menambah baik kebersihan premis makanan di sekitar bandaraya Petaling Jaya.

“Saya akan menyerahkan kertas kajian ini kepada Kerajaan Negeri Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) daerah Petaling Jaya dalam masa terdekat bagaimana cara untuk mengimplikasikannya,” ujarnya.