400 penumpang komuter panik dengar bunyi letupan

(00)Image0208

Kira-kira 400 penumpang menaiki tren komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Sentul ke Pelabuhan Klang panik apabila terdengar bunyi letupan di koc perempuan   jam 7.21 malam tadi.

Bunyi letupan berlaku berdekatan Stesyen LRT Abdullah Hukum menyebabkan sebahagian penumpang bertindak  nekad memecahkan pintu kaca untuk  keluar daripada tren komuter menuju ke jalan raya bagi menyelamatkan diri.

Orang ramai yang kebetulan berada di tempat kejadian jarak 5 meter memberikan bantuan kepada penumpang yang meminta pertolongan.

Komunitikini berkesempatan menemui beberapa orang penumpang yang terselamat menceritakan detik sebelum berlakunya kejadian tersebut.

Image0211

Salah seorang penumpang, Rosmierah Adura Admira Che We, 22,  berkata pada waktu itu, beliau ternampak asap dan cahaya terang keluar diatas koc perempuan.

Beliau yang ketika itu menaiki tren komuter dari Stesyen Bank Negara  untuk pulang ke rumah di Pantai Dalam dapat merasakan seolah-olah seperti ada sesuatu tidak kena sepanjang perjalanan itu.

Menurutnya, semasa berada di dalam tren komuter beliau dapat merasakan gerabak seperti terhoyong hayang.

“Saya dapat rasakan seperti lain macam saja, tiba-tiba tren itu berhenti  dan nampak ada percikan api dan bunyi letupan berdekatan koc perempuan.

“semua penumpang kelihatan panik, ada yang menjerit minta tolong dan mereka berasak-asak untuk keluar daripada tren, nasib baik orang luar memberikan bantuan, syukur kami selamat,”katanya dalam nada cemas.

Image0213

Pengalaman sama turut dikongsi oleh seorang penumpang Ethinasyitah Syahril, 21, menceritakan detik cemas ketika berada di dalam tren komuter tersebut.

Bagi pelajar dari Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) itu, keadaan dalam tren komuter yang sesak menyebabkan penumpang terdiri daripada wanita panik dan tidak menunggu.

“Perasaan pada waktu itu memang takut.Saya betul-betul berada di pintu koc perempuan semasa kejadian berlaku, alhamdulilah, nasib baik saya tidak mengalami sebarang kecederaan,”katanya.

Dalam perkembangan lain, Pemangku Pengurus Kanan Komunikasi Korporat (KTMB), Mohd Fazil Ismail ketika dihubungi Komunitikini mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Menurutnya kejadian berpunca daripada besi pemegang antara tiang elektrik patah menyebabkan terputus bekalan elektrik.

Image0218

Katanya, anggotanya bergegas ke tempat kejadian membantu penumpang di mana ada antara mereka yang berjalan ke stesyen LRT Abdullah Hukum jarak 100 meter.

“Susulan kejadian tersebut perkhidmatan KTMB tergendala selama dua jam dan tren ditarik menggunakan lokomotif ke stesyen berdekatan.

“Sistem satu arah landasan turut terjejas dari arah Sentul ke pelabuhan Klang dijangka lewat dalam sejam,”ujarnya.

Mohd Fazil berkata, tren komuter daripada Pelabuhan klang ke Sentul masih beroperasi di mana kerja menyelenggara dan memperbaiki kabel elektrik  dijangka akan siap sepenuhnya menjelang tengah hari ini.

Image0212

Beliau memaklumkan semasa kejadian tersebut, penumpang berada dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

“Kami mendapati pintu kaca tren komuter dipecahkan  penumpang yang mahu menyelamatkan diri di mana ini merupakan kejadian yang jarang berlaku.

“Sehubungan itu, KTMB memohon maaf kepada penumpang  dan tidak akan membiarkan kejadian tersebut berulang kembali,’katanya.

Komuntikini difahamkan kejadian gerabak tergelincir dan tren komuter terjejas bukan pertama kali berlaku di negara ini.Sewajarnya pihak KTMB menyediakan plan tindakan keselamatan bagi penumpang pada masa hadapan.