Jawatankuasa Little India pantau projek Brickfields

Jawatankuasa Little India pantau projek Brickfields

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar hari ini menubuhkan jawatankuasa pemantauan Little India dianggotai penduduk tempatan bagi memantau perkembangan projek pembangunan Little India  di Brickfields.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya kementerian dapat memberikan kerjasama dengan jawatankuasa pemantauan demi manfaat serta kebajikan rakyat di kawasan itu.

Malah, beliau yang menerajui jawatankuasa pemantau itu menggesa Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Saravanan mengotakan janji untuk membina tapak baru kepada 68 orang penjaja setelah projek Little India selesai.

“Senarai tersebut perlu dipamerkan kepada umum untuk memastikan ketelusan serta tiada unsur kronisme dalam pemberian tempat tapak baru tersebut,” katanya kepada Komunitikini menerusi kenyataan media.

Dalam perkembangan lain, Nurul Izzah turut mempertikaikan kenyataan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan(WP) Datuk M Saravanan berhubung pemberian projek Little India kepada MRCB Sdn Bhd di parlimen pagi tadi.

Malah, beliau menyifatkan kenyataan diberikan oleh timbalan menteri WP itu mengelirukan kerana syarikat tersebut merupakan syarikat berkaitan kerajaan dan telah terlibat dengan pembangunan KL Sentral dan projek penyuraian trafik.

See also  Malaysia ranks 4th globally in skyscraper count

Menurutnya, pada masa yang sama, timbalan menteri itu turut mengelak daripada memperincikan tambahan wang rakyat dalam perbelanjaan projek tersebut.

Katanya, beliau juga menyatakan usaha MRCB untuk menaiktaraf kawasan Brickfields merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat itu sendiri.

“Persoalannya, kerajaan sudah memberi janji untuk memberi ruang persaingan di kalangan syarikat-syarikat swasta dengan menawarkan tender terbuka untuk mana-mana pembangunan di seluruh negara.

“Kenapakah janji ini tidak dikotakan dalam pemberian projek KL Sentral, sistem penyuraian trafik di KL dan Penaiktarafan kawasan Brickfields melalui Little India -yang kesemuanya diberikan kepada MRCB Sendirian Berhad,”katanya kepada Komunitikini dalam satu kenyataan media.

Nurul Izzah berkata, di kala iklim pelaburan dalam negara oleh pihak swasta sedang lembab dan diakui bahayanya oleh kerajaan serta Perdana Menteri sendiri, rakyat menanti penjelmaan iltizam politik kepada langkah konkrit.

Katanya lagi, kedua, kalau benar usaha menaiktaraf kawasan Brickfields ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat, kenapa wujud keperluan menggunakan dana rakyat sejumlah RM35 juta.

See also  Forest City gets boost with PM visit and future plans

“Bukankah tanggungjawab sosial itu bermaksud bayaran yang ditanggung oleh pihak korporat? Justeru apa penjelasan perlunya dana rakyat digunakan?.

“Jawapan timbalan menteri yang tidak menolak kemungkinan penambahan jumlah perbelanjaan daripada RM35 juta sedia ada juga amat membimbangkan kerana menunjukkan betapa borosnya kerajaan berbelanja dalam keadaan ekonomi semakin mengecil,”jelasnya.

Ujarnya, sikap sebegini juga ditunjukkan dalam cadangan kerajaan menimbang keperluan bangunan parlimen yang baru bernilai RM800 juta.

Tambahnya, malangnya dalam aspek kebajikan rakyat, kerajaan begitu gopoh sanggup menimbang langkah membatalkan biasiswa JPA atas alasan aliran kewangan negara yang membimbangkan, termasuklah rancangan besar di bawah Makmal Datuk Seri Idris Jala untuk merasionalisasi dan menghentikan subsidi.

“Akhir kata, saya menuntut supaya projek Little India ini siap sepenuhnya seperti dijanjikan dan jangan sehingga seorang sekalipun penjaja, peniaga atau penduduk setempat dipinggirkan,” tegasnya.