Hartanah bernilai tinggi diberi kepada penduduk Bukit Botak

Hartanah bernilai tinggi diberi kepada penduduk Bukit Botak

Penduduk Bukit Botak memerima pampasan dalam bentuk rumah dan wang.

DSC_0016 penduduk bukit botak

Satu taklimat telah diadakan oleh Kerajaan Negeri Selangor berkenaan dengan status bayaran pampasan kepada penduduk Bukit Botak berikutan mengenai pengambilalihan tanah bagi menjayakan projek perumahan di kawasan itu secara menyeluruh.

Taklimat ini diadakan diketuai oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,bertujuan untuk mendapat komitmen penduduk Bukit Botak dalam menjayakan projek yang telah terbengkalai selama 20 tahun akibat kegagalan pemaju yang dilantik sebelum ini.

Taklimat ini diadakan di Pejabat Daerah Gombak, turut hadir dalam taklimat tersebut ialah Pegawai Daerah Gombak, Ahmad Zahrin Mohd Saad, wakil Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan wakil Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

15 orang wakil penduduk Bukit Botak diberitahu rumah akan ditawarkan pada harga RM99,000 setelah mengambil kira bayaran pampasan pengambilan tanah mengikut keluasan setiap kawasan.

Bagi tanah keluasan 205 meter persegi, pampasan adalah sebanyak RM12,300. Bagi tanah keluasan 672 meter persegi, pampasan adalah sebanyak RM40,320. Pampasan ini diserap sebagai kos pembangunan rumah yang ditetapkan sebanyak RM12,300 seunit dan selebihnya dijadikan deposit rumah.

Seterusnya, wakil penduduk juga diberitahu harga rumah kekal seperti yang ditawarkan sebelum ini mengikut keluasan tanah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri untuk memajukan projek tersebut.

Penduduk yang memiliki tanah seluas 205 meter, harga rumah yang ditawarkan berharga RM99,000 seunit dan pemilik tanah seluas 672 meter persegi, rumah ditawarkan dengan harga RM70,980 seunit.

Kesemua harga ini selepas ditolak dari wang pampasan yang patut mereka terima akan diserapkan dalam kos pembangunan dan selebihnya dijadikan deposit rumah. Ini bermakna, penduduk tidak perlu mengeluarkan wang pendahuluan untuk memiliki rumah.

Bagi penduduk yang tidak mempunyai hak milik atau tidak pernah membayar premium tanah, mereka perlu membeli rumah ini pada harga RM111,300 seunit.

Namun hal yang demikian, Pejabat Tanah dan Daerah Gombak masih menerima rayuan dari mereka yang mendakwa pemilik tanah tetapi tidak diberi hak milik atas sebab-sebab tertentu.

Proses mengeluarkan tender berada pada peringkat akhir dan kontraktor yang dipilih akan diumumkan bagi menjayakan projek bernilai RM140 juta ini.

DSC_0055 bukit botak3

Abdul Khalid menegaskan sebarang keuntungan tidak akan diambil oleh pihak kerajaan negeri, cukuplah hanya menggalas tanggungjawab untuk membantu penduduk setinggan yang teraniaya.

“Kami mahu membawa penduduk setinggan ke era baharu. Selama ini penduduk setinggan hanya diberikan rumah yang  dibina dengan standard yang rendah dan tidak bernilai tinggi. Cara ini meletakkan penduduk setinggan hidup pada takuk lama,” ujarnya lagi.

Abdul Khalid memberi jaminan untuk bahawa pihak LPHS serta Pejabat Tanah dan Daerah Gombak akan bekerja keras untuk bertemu dengan semua penduduk iaitu seramai 1,422 orang penduduk bagi memberi penjelasan dan merekod semula pilihan mereka setelah mendapat rungutan iaitu dokumen yang diberi tidak lengkap.

Abdul Khalid berkata, kerajaan Selangor tidak akan meneruskan projek ini jika semua penduduk Bukit Botak menolak cadangan pembangunan projek perumahan ini.

Mengenai harga rumah yang dikatakan tinggi, Abdul Khalid berkata, projek ini bukan sekadar menyediakan rumah kepada penduduk setinggan yang ditindas tetapi memberikan hartanah yang bernilai tinggi.

“PKNS sedia membeli rumah yang telah siap dengan harga RM170,000. Jika penduduk tidak mahu menjual kepada PKNS, mereka boleh menjual sendiri kerana rumah ini dibina dengan standard yang tinggi dan sudah tentunya nilainya lebih tinggi berbanding harga asal,”katanya lagi.