Penduduk berang tiada notis pemberitahuan

Penduduk berang tiada notis pemberitahuan

Penduduk kesal tidak ada usaha untuk berbincang dengan mereka sebelum pembinaan dimulakan.

Timbulnya salah faham antara sekumpulan penduduk dan Anggota Majlis Perbandaran Selayang Lim Ching How menjadi punca berlakunya pergaduhan di Taman Industri Bolton, Batu Caves, semalam.

Dalam kejadian itu, ahli majlis Lim Ching How, 47, dipukul oleh sekumpulan lelaki, didakwa daripada sebuah NGO Melayu.

Turut terlibat dalam kejadian itu ialah seorang setiausaha ADUN Batu Caves, Mohd Zuhudi Ahmad, 57.

Menurut salah seorang saksi hanya dikenali sebagai Helmi berkata, penduduk berang apabila melihat beberapa individu sedang mendirikan papan tanda dan memasang pagar untuk projek pembinaan Persatuan Amal Yee Lan Sheng Hui Gombak di kawasan berdekatan penempatan mereka.

Malah, beliau yang menjalankan aktiviti perniagaan telefon bimbit berdekatan tempat kejadian memberitahu, susulan itu,  penduduk dan orang ramai yang berkumpul mula bertindak merobohkan papan tanda dan pagar di seluruh kawasan tanah seluas kira-kira 2,400 kaki persegi.

“Saya mendapat tahu bahawa tanah di kawasan Mukim Batu itu milik Umno yang bercadang untuk membina sebuah dewan komuniti bagi kemudahan penduduk di situ.

“Bagaimanapun selepas Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Kerajaan Negeri Selangor pada Pilihan Raya Umum ke 12, pada 2008 lalu, cadangan pembinaan dewan senyap begitu sahaja,”katanya ketika dihubungi Komunitikini, tengahari tadi.

Beliau menyifatkan tindakan membina Persatuan Amal Yee Lan Sheng Hui Gombak tidak wajar kerana majoriti penduduk yang tinggal dan menetap di kawasan ini berbangsa Melayu berbanding kaum lain.

Jelasnya, sepatutnya ahli majlis mengadakan perbincangan bersama penduduk terlebih dahulu sebelum merancang untuk melaksanakan sesebuah projek di kawasan itu.

“Setelah mendapat persetujuan daripada penduduk barulah pihak berwajib boleh melaksanakan kerja pembinaan di tapak tersebut.

“Langkah itu perlu dilaksanakan bagi memastikan tidak timbul isu sensitiviti melibatkan perkauman sekiranya ahli majlis mengambil kira pandangan penduduk sekitar,”katanya.

Difahamkan, dahulunya kawasan perumahan itu merupakan penempatan setinggan penduduk Taman Bolton.

Bagaimanapun usaha Komunitikini untuk mendapatkan penjelasan berhubung pertindihan permit kelulusan di kawasan tersebut menemui jalan buntu.

Salah seorang Penolong Pegawai Seni Bina Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Nurhaliza Idris Ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.