Tunggu laporan rasmi pihak pengurusan Mydin Mart

Tunggu laporan rasmi pihak pengurusan Mydin Mart

Mydin Mart dituduh memaksa pelanggan menggunakan beg yang dijual oleh syarikat itu sahaja.

“Pihak kami masih menunggu laporan rasmi daripada pihak pengurusan Mydin Mart mengenai  kejadian larangan membawa beg plastik terpakai ke premis tersebut,” kata Adrian Yeo, pembantu khas kepada Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong  ketika menghubungi Komunitikini pagi tadi.

Menurutnya, hasil lawatan ke pusat membeli belah tersebut pada hari Sabtu lalu, beliau diberitahu oleh pihak pengurusan bahawa terdapat sedikit kekeliruan atau salah faham timbul daripada syarikat keselamatan yang baru sebulan ditukarkan.

“Saya berharap selepas ini tidak timbul isu tersebut kerana ia merupakan kes pertama kali dilaporkan di negeri ini,” ujarnya.

Jumaat lalu, Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri Selangor, Elizabeth Wong  mengarahkan pegawai daripada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) menyiasat dakwaan pengguna dilarang menggunakan beg plastik terpakai di salah sebuah pusat membeli belah di negeri ini.

Malah, Ahli Dewan Undangan Kecil (Adun) Bukit Lanjan kesal dengan tindakan pengusaha pusat membeli belah melarang pengunjung membawa plastik beg terpakai daripada memasuki premis tersebut.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan timbul salah faham dan kesilapan daripada pengusaha pusat membeli belah berhubung penggunaan beg plastik terpakai dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

” Saya telahpun dimaklumkan mengenai masalah tersebut.Pegawai UPEN akan mengadakan melawat pusat membeli belah dalam tempoh terdekat bagi mengenalpasti masalah sebenar,”katanya ketika dihubungi.

Berdasarkan aduan diterima Komunitikini, Ramanand Su bersama isterinya  mengunjungi pusat membeli belah di Seksyen 18, Shah Alam untuk membeli barangan keperluan harian, Sabtu lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri melaksanakan penggunaan beg plastik terpakai melibatkan seluruh pengusaha pusat membeli belah  bertujuan memberi galakan kepada penduduk menggunakan beg plastik terpakai.

“Tetapi lain pula jadinya, kami diberitahu kakitangan bertugas  bahawa pengunjung dilarang membawa plastik beg terpakai sebaliknya diarah menyimpan di kaunter” katanya dipetik daripada kenyataan di laman sosial Facebook.

“Kami turut mendengar rungutan daripada pengunjung keliru dengan arahan tersebut.

“Apa yang lucunya, kami mendapati pada papan iklan berada di situ, jelas terpampang kenyataan mengenai promosi galakan  kepada orang ramai menggunakan plastik beg terpakai setiap hari Sabtu,” ujarnya.

hari-tanpa-plastik-setiap-hari-sabtu

Komunitikini difahamkan, Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan satu kempen “Hari Tanpa Beg Plastik” setiap hari sabtu di setiap pusat membeli belah di negeri ini.

Tujuan kempen adalah bagi mengalakkan budaya kitar semula dan mendidik masyarakat mengurangkan penggunaan beg plastik sekaligus mengurangkan pencemaran putih atau white pollution.

Sesiapa yang masih ingin memohon beg plastik akan dikenakan bayaran 20 sen sehelai di kaunter pusat membeli belah.