Tindakan undang-undang terhadap pengusaha kafe siber haram

Tindakan undang-undang terhadap pengusaha kafe siber haram

MBPJ akan bertindak keras untuk membanteras kegiatan penguasaha kafe siber haram.

P25-05-10_12.00

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberi amaran keras kepada pengusaha kafe siber haram berunsur perjudian di daerah Petaling Jaya supaya menghentikan operasi serta merta.

Sehubungan itu, MBPJ hari ini melancarkan perang habis-habisan ke atas pengusaha kafe siber yang menjadikan premis mereka sebagai lokasi perjudian internet.

Sekiranya engkar, mereka bakal berdepan dengan tindakan undang-undang di mana lesen dan permit pengusaha  kafe siber haram akan ditarik balik.

Malah,MBPJ sedang melaksanakan satu polisi tindakan undang-undang ke atas pengusaha premis kafe siber haram dalam tempoh terdekat.

Dalam setiap serbuan dan tangkapan sebelum ini, pengusaha premis kafe siber haram hanya dikenakan kompaun RM1,000 selain barangan komputer disita.

Isu tersebut antara beberapa aduan yang dibangkitkan dalam Mesyuarat penuh MBPJ Bil 05/2010 dipengerusikan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman bertempat di Bangunan MBPJ, pagi tadi.

Hadir sama kira-kira 23 ahli majlis MBPJ serta pengerusi persatuan penduduk daerah Petaling Jaya.

Komunitikini difahamkan,  MBPJ tidak pernah mengeluarkan lesen perjudian di mana- mana premis perniagaan di kawasan pentadbiran.

Setiap lesen perjudian  hanya dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia kerana  ia diluar bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sementara itu, Timbalan Datuk Bandar, Puasa Md Taib memberitahu bahagian penguatkuasa MBPJ telah melakukan serbuan ke atas 279 pemilik kafe siber haram.

Menurutnya berdasarkan laporan statistik pada empat bulan pertama, sebanyak 179 premis kafe siber telah disita manakala sebanyak 31 premis kafe siber tidak mempunyai lesen telah dikompaun dan 30 premis kafe siber disita di sekitar daerah Petaling Jaya.

“Secara keseluruhan sebanyak 77 unit skrin komputer dan 44 unit pemprosesan pusat (CPU) komputer dirampas di Petaling Jaya Selatan di mana operasi bersepadu dijalankan bersama pihak polis,”katanya.