Bimbang jenayah ragut pecah rumah berleluasa, penduduk tubuh KRT

Bimbang jenayah ragut pecah rumah berleluasa, penduduk tubuh KRT

Geram kerana kawasan kejiranan mereka sering menjadi tumpuan penjenayah terutamanya melibatkan jenayah ragut dan pecah rumah, penduduk SS4A di sini mengambil inisiatif menubuhkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

Pengerusinya, Kamalin Yahya, 70, berkata, selain mengekang aktiviti jenayah penubuhan KRT itu juga bertujuan merapatkan hubungan silaturahim penduduk berbilang kaum di kawasan berkenaan selaras dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, pihaknya juga berharap dengan tertubuhnya KRT itu dapat membantu pihak polis mengurangkan kadar jenayah di sekitar kawasan tersebut sekaligus mewujudkan keadaan selamat dan harmoni kepada penduduk.

“Kita telah menubuhkan KRT ini secara rasminya sejak tiga bulan lalu kerana yakin ia mampu membendung aktiviti jenayah seperti ragut dan pecah rumah yang kerap berlaku di kawasan ini.

“Selain itu, tujuan lain KRT ini ditubuhkan adalah untuk menyatupadukan penduduk berbilang kaum untuk sama-sama terlibat, berkhidmat serta menjaga kawasan kejiranan ini,”katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra dan perjumpaan penduduk di padang SS4A/4 baru-baru ini.

Kamalin berkata, sejak KRT itu ditubuhkan kes-kes jenayah seperti ragut dan pecah rumah serta pergaduhan melibatkan orang luar yang menjadikan taman permainan berdekatan sebagai tempat melepak dilihat semakin berkurangan.

Katanya melihat kepada senario itu, pihaknya bercadang menubuhkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dalam masa terdekat ini bagi memantapkan lagi keselamatan di kawasan itu.

“Kita akan tubuhkan SRS secepat mungkin dan akan mengadakan rondaan malam supaya aktiviti tidak sihat dan jenayah di kawasan ini dapat dibendung.

“Kita juga berharap apabila SRS ini ditubuhkan kelak, semua penduduk dapat melibatkan diri demi menjaga kesejahteraan kawasan kejiranan ini,”katanya.

Difahamkan, kawasan SS4 sering menjadi sasaran penjenayah melakukan aktiviti jenayah terutamanya melibatkan ragut dan pecah rumah.

Bulan lalu seorang penduduk menjadi mangsa terbaru dalam kejadian ragut yang berlaku pada waktu awal pagi.