Penyamun guna pistol diberkas

Penyamun guna pistol diberkas

Bekas penyamun ditangkap sekali lagi setelah cuba menggunakan pistol untuk menyamun.

Seorang lelaki yang pernah dibebaskan dengan jaminan kerana menyamun diberkas polis sekali lagi selepas menyamun sebuah restoran di Dataran Sunway semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam kelmarin, suspek yang berseorangan mengambil kesempatan menyamun ketika restoran itu hendak ditutup.

Suspek bertopi keledar dan memakai baju hujan mengacukan pistol ke arah juruwang sebelum merampas wang tunai sebanyak RM3,000 yang berada di dalam mesin wang restoran itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata, suspek kemudian melarikan diri dengan menunggang motosikal melawan arus sebelum dikesan anggota polis berpakaian biasa yang berada di kawasan itu.

“Polis kemudiannya mengekori suspek hingga ke rumahnya sebelum berjaya menahan suspek,” katanya

Arjunaidi berkata, melalui pemeriksaan yang dibuat di rumah suspek, polis berjaya menemui wang berjumlah RM1,900 yang disembunyikan di atas tangki air di tandas rumah terbabit.

Bagaimanapun katanya, ketika suspek disoal, dia memberitahu bahawa wang itu adalah hasil perniagaan kecil-kecilannya menjual kerepek.

”Siasatan mendapati motosikal yang digunakan suspek menggunakan nombor pendaftar palsu yang pernah dilaporkan hilang di Damansara Utama.

“Pemeriksaan lanjut di rumah suspek tidak menemui pistol yang digunakan untuk menyamun dan dengan tertangkapnya suspek polis berjaya menyelesaikan empat kes samun di sekitar Kota Damansara sekitar Mac dan April lalu,” katanya.