38 kanak-kanak `kurang berminat` menonton televisyen

38 kanak-kanak `kurang berminat` menonton televisyen

Kempen tidak menonton televisyen` yang dianjurkan oleh Kempen Konsumer Kebangsaan dilihat bukan penghalang kepada 38 kanak-kanak berusia dalam lingkungan 3 hingga 6 tahun tidak mengikuti program ini.

Oleh Ahmad Fadzly Esa

`Kempen tidak menonton televisyen` yang dianjurkan oleh Kempen Konsumer Kebangsaan dilihat bukan penghalang kepada 38 kanak-kanak berusia dalam lingkungan 3 hingga 6 tahun tidak mengikuti program ini.

Kempen yang berlangsung selama seminggu turut disertai ibu bapa dan guru diharap dapat meningkatkan kesedaran kepada kanak-kanak dan masyarakat khususnya mengenai kesan yang dihadapi akibat terlalu lama menonton televisyen.

Penyelaras Kempen 3K, Datuk Paul Selva Raj berkata kempen tidak menonton televisyen merupakan sebahagian daripada aktiviti yang telah dilaksanakan merangkumi 131 latihan di peringkat akar umbi berhubung kempen kepenggunaan.

Menurutnya, satu lagi aspek, kempen ini memberi mesej daripada segi sikap masyarakat yang gemar menonton televisyen terlalu lama sehingga 7 jam.

“Kesannya akan menyebabkan penyakit obesiti sekiranya ibu bapa tidak mendidik anak-anak diperingkat kecil lagi.Yang penting sekali, kami tidak menentang televisyen tetapi cuba memperbaiki corak kehidupan,”katanya ketika ditemui tengahari tadi.

See also  Safeguarding children's privacy on social media

Paul berkata, pihaknya berharap dengan kesedaran ini, ibu bapa dapat mendidik anak-anak dengan gaya hidup yang sihat.

“Kempen ini bermula di luar negara beberapa tahun lalu di mana kami cuba mempraktikkan kempen kesedaran di negara ini pada 2009 lalu.

Sementara itu, Pearly Chua, 37, ketika ditemui Komunitikini berkata, beliau memperolehi banyak manfaat berguna berhubung kempen kesedaran tidak menonton televisyen kepada anak-anak.

Beliau berkata,pada mulanya, memang janggal bagi anak-anaknya yang berusia 3 dan 4 tahun tidak menonton televisyen dalam sehari suntuk.

Menurutnya, walaupun sukar melaksanakannya, tetapi sedikit sebanyak dapat memberi pengajaran kepada anaknya.

“Bayangkan selama seminggu anak-anak kecil ini tidak dibenarkan menonton televisyen, sudah tentu haru biru jadinya.

“Anak-anak saya menangis kerana tidak dibenar menonton televisyen dalam tempoh yang lama, tetapi akhirnya saya berjaya mengurangkan jumlah jam  dengan memupuk kesedaran kepada anak-anak saya dengan melakukan aktiviti lain seperti mewarna buku, menyusun gambar dan sebagainya,”katanya sambil ditemani oleh anaknya.

See also  Penang set to host 'Leela Jhansi': A poignant exploration of child marriage

Manakala Pengetua Taska Kinderland Playhouse, Evelyn Foo,35, berkata kempen yang diadakan bertujuan untuk mendidik ibu-bapa dan anak-anak di samping memberi kesedaran mengenai kebaikan tidak menonton televisyen terlalu lama.

Beliau berkata, program yang bermula pada 21 April lalu dan berakhir hari ini berjaya menarik minat ibu-bapa untuk turut serta menjayakan kempen ini.

Katanya, apa yang menarik mengenai program ini, pihaknya memberikan penyata laporan kepada ibu bapa untuk diisi dengan pelbagai aktiviti dengan syarat `tidak menonton televisyen` sepanjang seminggu kempen berlangsung.

“Hasil maklumat diterima daripada ibu bapa menunjukkan sikap perubahan positif, jika dahulunya anak-anak gemar menonton televisyen sehingga 7 jam, dengan adanya kempen ini, jumlah jam semakin berkurangan,”katanya.