Naik taraf Stesen LRT Masjid Jamek hingga 2011

Projek Fasa 2 dan 3 menaik taraf stesen sistem transit aliran ringan (LRT) Masjid Jamek bagi menghubungkan Laluan Kelana Jaya dan Laluan Ampang kini berjalan dan akan berlanjutan sehingga Februari 2011.

Pengurus Besar Komunikasi Kumpulan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana), Ebi Azly Abdullah berkata, projek itu membabitkan kerja menaik taraf concourse Laluan Ampang termasuk memindah kaunter tiket.

Menurutnya, projek berkenaan juga melibatkan penyediaan kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) seperti membina lif, menambah baik platform serta petak beratur.

“Kita juga menaik taraf akses sedia ada Laluan Ampang yang dihubungkan dengan laluan bawah tanah Laluan Kelana Jaya selain membina laluan pejalan kaki berbumbung di Jalan Tun Perak dan Jalan Melaka ke Hab Bas Lebuh Ampang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kerja naik taraf itu bertujuan menghubungkan dan mengintegrasikan Stesen Masjid Jamek bagi kedua-dua Laluan Ampang serta Kelana Jaya dan memudahkan penumpang membuat pertukaran laluan.

Katanya, kerja-kerja menaik taraf berkenaan adalah sambungan kepada projek integrasi Stesen LRT Masjid Jamek selepas Fasa Pertama siap pada 15 Oktober 2008.

Menurut beliau, untuk maklumat terkini, pengguna boleh mendaftar sebagai komuniti RapidKL secara online melalui laman web, www.rapidkl.com.my untuk melanggan khidmat pesanan ringkas (SMS) atau ikuti RapidKL di www.twitter.com/@MYrapidKL.

Beliau berkata, pengguna juga boleh menghubungi Helpline di talian 03-78852585 bermula jam 7.00 pagi hingga 8.30 malam dari Isnin hingga Jumaat serta 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada Sabtu dan Ahad atau memberi maklum balas melalui e-mel ke [email protected]

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE