PMR: Pasangan kembar peroleh 8A

PMR: Pasangan kembar peroleh 8A

Pasangan kembar yang memperoleh 8A dalam PMR yang diumumkan hari ini, percaya mereka memiliki perasaan naluri yang sama, yang turut membantu mereka mencapai hasil keputusan peperiksaan yang sama.

Pasangan kembar yang memperoleh 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini, percaya mereka memiliki perasaan naluri yang sama, yang turut membantu mereka mencapai hasil keputusan peperiksaan yang sama.

Ini diberitahu oleh Fareed Danial Ahmad Kahar dan adiknya Fareed Danish, yang kedua-duanya merupakan penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson di sini.

“Sebagai contoh, kadang-kadang bila saya ragu-ragu dan teragak-agak untuk menjawab soalan, saya akan tunggu dan kemudian memilih jawapan yang saya rasa jawapan betul yang telah dipilih oleh adik saya,” kata Fareed Danial kepada pemberita ketika ditanya mengenai kejayaan mereka itu.

Fareed Danish yang dianggap sebagai lebih matang dan bijak daripada abangnya, pula berkata strategi mereka dalam menghadapi peperiksaan ialah dengan belajar secara bijak iaitu memilih untuk lebih menumpukan kepada tajuk-tajuk mata pelajaran tertentu.

“Kami juga mengkaji soalan tahun-tahun lepas dan memberi perhatian penuh semasa mengulang kaji,” katanya.

Mereka turut menujukan kejayaan mereka kepada kedua-dua datuk dan nenek mereka yang memelihara mereka sejak kecil sementara ibu tunggal mereka bekerja di Kuala Lumpur.

“Mereka telah banyak berkorban untuk kejayaan kami hari ini,” kata Fareed Danial ketika ditemui semasa mengambil keputusan peperiksaan di sekolah mereka.

Datuk mereka, Ismail Saidi, 70, berkata beliau sering menasihati mereka supaya belajar bersungguh-sungguh agar tidak menyesal di kemudian hari kelak.

– Bernama