Tindakan SMM tidak wakili suara mahasiswa

Sekretariat Suara Keamanan Mahasiswa (SSKM) menyifatkan tindakan sekumpulan anggota Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang menurunkan bendera yang memaparkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu lalu, tidak mewakili suara golongan itu di negara ini.

Pengerusinya, Muhamad Mukhlis Maghribi berkata tindakan SSM itu juga biadap dan SSKM menyelar perbuatan mereka.

“Tindakan mereka menggantikan bendera wajah Perdana Menteri dengan bendera SMM juga telah mendorong rakyat Malaysia, terutama mahasiswa, marah dan kurang selesa,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut semalam.

Beliau berkata SSKM meminta polis menyiasat isu penurunan bendera yang dilakukan SMM itu secara terperinci.

“Kami juga mahu polis siasat sama ada penubuhan SMM merupakan pertubuhan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) ataupun dengan mana-mana persatuan di dalam universiti mengikut peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971,” katanya.

Muhamad Mukhlis juga berkata SSKM yang bernaung di bawah Kumpulan Rakan Siswa Malaysia serta mempunyai rangkaian di 18 Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, meminta polis mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat.

Beliau berkata tindakan menurunkan bendera itu juga dilihat sebagai satu vandalisme dan ia merupakan kesalahan merosakkan harta benda awam atau milik persendirian.

Dalam kejadian itu, kira-kira 200 mahasiswa berkumpul dan berarak untuk menggesa AUKU dimansuhkan kerana didakwa, antaranya, menyekat kebebasan akademik, hak untuk berpolitik, kebebasan bersuara dan autonomi menjalankan pilihan raya kampus.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE