Karnival Ke Arah Kehijauan CAP 2011

Karnival Ke Arah Kehijauan CAP 2011

CAP akan mengadakan karnival tiga hari bertemakan “Ke Arah Kehijauan” pada 9 hingga 11 Disember 2011, jam 10 pagi hingga 6 petang di Kebun Bunga Pulau Pinang.

Oleh SM Mohamed Idris, Presiden CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) akan mengadakan karnival tiga hari bertemakan “Ke Arah Kehijauan” pada 9 hingga 11 Disember 2011, jam 10 pagi hingga 6 petang di Kebun Bunga Pulau Pinang, berhadapan Moon Gate.

Ini merupakan tahun kedua CAP mengadakan Karnival Ke Arah Kehijauan dan ia merupakan peluang bagi kami untuk mendekati pengguna. Karnival ini bertujuan untuk mempromosikan penggunaan dan gaya hidup lestari, tunjuk ajar secara ringkas langkah yang boleh diambil oleh pengguna untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Penyakit yang kronik dan terminal semakin meningkat, sebahagian besarnya dipengaruhi oleh diet, gaya hidup pilihan kita dan pendedahan kepada bahan berbahaya seperti agen penyebab kanser dalam makanan, produk dan alam sekitar. Kami akan memperkenalkan teknik kehidupan lestari dan panduan isirumah untuk penjagaan kesihatan.

Amalan “Mencegah lebih baik daripada mengubati” perlu dipatuhi. Jawapannya terletak kepada  amalan tabiat kehidupan yang sihat dengan pengambilan diet yang seimbang, mengekalkan berat tubuh yang sihat dengan sentiasa aktif dan mengurangkan pendedahan kepada bahan berbahaya yang memberikan kesan kepada kesihatan.

Untuk maklumat lebih lanjut,  pengunjung karnival boleh memperolehinya daripada bahan penerbitan CAP yang turut dijual.

Karnival ini juga akan menunjukkan pelbagai kaedah yang digunakan oleh petani untuk menghasilkan tanaman organik dengan cara yang lebih selamat dan lebih produktif berbanding pertanian berasaskan bahan kimia. Kaedah pertanian asli ini juga boleh diamalkan di kawasan  bandar.

Pertanian di bandar kini mula diterima di seluruh dunia melalui usaha berkebun di rumah atau dalam komuniti atau berkebun secara kolektif.

Memandangkan harga sayur semakin meningkat, kita perlu menggunakan sepenuhnya ruang  yang ada untuk memulakan kebun dan menanam tumbuhan yang boleh dimakan. Harga cili segar di pasar Pulau Pinang ialah RM11 sekilogram.

Terung dijual pada harga RM3.50/kg, tomato RM3.50/kg, bayam RM3.00/kg, bendi RM8/kg. Sayur ini mudah ditanam di rumah kita dan boleh menjimatkan kos isirumah.

CAP menyokong sepenuhnya pergerakan makanan tempatan kerana ia juga menggalakkan kehidupan sihat. Malah mereka yang tinggal di bangunan tinggi boleh mula membina kebun  sendiri tidak kira berapa luasnya kawasan kerana masih terdapat sedikit ruang bagi beberapa  tumbuhan.

Anda boleh menanam sayuran, herba dan tumbuhan lain dalam pasu, karung guni  atau kotak di bahagian laman, balkoni, bumbung atau di dalam rumah.

Anda boleh mempelajari bagaimana untuk menanam tumbuhan ini melalui kaedah organik dalam Karnival Ke Arah Kehijauan ini.

CAP telah menjemput petani dari seluruh Malaysia dan pelajar sekolah di Pulau Pinang
untuk mengadakan pameran dan menjual produk mereka serta berkongsi pengalaman.

Kami menyediakan 13 gerai pameran yang terdiri daripada tumbuhan herba, sudut benih, sayuran organik, roti, susu kambing, ayam organik, baja asli, pencegah serangga berasaskan herba, kompos, penggalak tumbesaran, kraftangan dan minuman herba untuk dijual.

Kami juga turut menjemput sahabat dari St. Nicholas Home for the Blind and Visually
Impaired, untuk menghiburkan kita dengan muzik oleh Kumpulan Kitar Semula (Recycle Band) menggunakan peralatan yang diperbuat daripada produk kitar semula. Anda boleh datang untuk  mendengar muzik mereka dari pukul 10 pagi hingga 1 petang pada 10 Disember 2011.

Pelajar dari SMK Sungai Nibong, Pulau Pinang akan menjual jus rosselle yang dibuat daripada pokok roselle yang ditanam di kebun sekolah mereka. Mereka juga membuat beg batik buatan tangan dan kraftangan lain untuk dijual. Manakala pelajar dari SMK (P) Methodist pula akan menjual baja cecair cacing yang baik untuk tumbuhan yang boleh digunakan sebagai semburan dan dihasilkan dalam projek kebun sekolah mereka.

Kaedah bagaimana untuk membuat penggalak tumbesaran dan pencegah serangga asli akan  ditunjukkan oleh petani. Beberapa aktiviti alam sekitar juga akan dijalankan. Datanglah dan perkayakan diri anda dengan pengetahuan tradisional yang amat berharga dan sokonglah kami dalam usaha menuju ke arah pertanian asli dan amalan tradisional.