Najib umum pelan maritim negara pada pameran LIMA

Najib umum pelan maritim negara pada pameran LIMA

Perdana Menteri hari ini mengumumkan Pelan Strategik Industri Kapal/Pembinaan Kapal Malaysia 2020 yang bermatlamat menjana RM6.35 bilion PNK dan mewujudkan 55,500 pekerjaan tambahan untuk negara menjelang 2020.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Pelan Strategik Industri Kapal/Pembinaan Kapal Malaysia 2020 yang bermatlamat menjana RM6.35 bilion Pendapatan Kasar Negara (PNK) dan mewujudkan 55,500 pekerjaan tambahan untuk negara menjelang 2020.

Menerusi pelan itu, yang dilancarkan sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2011, pertumbuhan dijangkakan mampan dan terangkum, dan mungkin menjadi rahmat untuk Sarawak yang menyaksikan industri maritim berkembang dan menjadi penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi negeri.

Disediakan oleh Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM), pelan itu menyasarkan untuk menguasai 80 peratus daripada pasaran baharu tempatan dan dua peratus pasaran baharu global, meningkat daripada 50 peratus dan 0.8 peratus pada 2010.

Menurut MIGHT, sumbangan utama dijangkakan datang daripada peningkatan kerja membina dan membaik pulih Kapal-kapal Sokongan Luar Pesisir (OSV) bagi eksplorasi minyak dan gas serta penggantian kapal lama penyedia perkhidmatan Petronas (PSC) yang menyumbang RM10 bilion dalam perolehan industri menjelang 2020.

See also  Forest City gets boost with PM visit and future plans

Untuk segmen baik pulih kapal, pelan itu menyasarkan untuk menguasai tiga peratus daripada pasaran baik pulih Selat Melaka yang bernilai kira-kira RM1 bilion setahun.

Khidmat servis OSV tahunan bagi kerja baik pulih kapal luar pesisir Laut China Selatan bagi limbungan kapal di Kelantan, Terengganu dan Pahang ketika ini dianggarkan bernilai lebih RM200 juta setahun.

Segala cadangan yang digariskan dalam pelan itu dijangka merangsang daya saing industri Malaysia dalam industri pembinaan kapal dan baik pulih, industri yang tekanan saingannya semakin meningkat daripada penggiat serantau seperti Singapura, Vietnam, Indonesia, India, China dan Filipina.

Ia secara khususnya menyasarkan pembinaan kapal bersaiz kecil dan sederhana dan segmen baik pulih serta bermatlamat untuk meningkatkan keupayaan Malaysia dalam produk dan proses teknologi tinggi dan bernilai tinggi.

See also  Malaysia ranks 4th globally in skyscraper count

Cadangan utama termasuk penguatkuasaan dalam kualiti pembinaan dan baik pulih kapal, peningkatan tahap kandungan tempatan dan pengenalan teknologi serta proses baharu.

Pelan itu juga mempromosi kandungan tempatan dalam reka bentuk dan binaan, jajaran strategi tempatan dan negeri dengan keperluan industri pembinaan dan baik pulih kapal.

Bagi merealisasikan matlamat sumbangan PNK sebanyak RM6.35 bilion dan penyediaan 55,500 pekerjaan baharu, pelan itu mencadangkan pembabitan kerajaan dan pengawal selia pada beberapa peringkat seperti pembentukan dasar, kerangka kerja kawal selia, pembiayaan dan pakej insentif untuk pelaburan, selain program pembangunan sumber manusia.

Cadangan lain termasuk mengukuhkan kerangka kerja institusi, terutama penubuhan badan pemandu antara menteri peringkat kebangsaan bagi memantau perkembangan industri itu.

– Bernama