Akta Antartika Malaysia sedang dirangka

Akta Antartika Malaysia sedang dirangka

Malaysia kini dalam proses merangka Akta Antartika Malaysia, yang mana salah satu elemen utama akta tersebut ialah mewujudkan Institut Sains Polar Malaysia.

Aerial photograph of Scott Base by Andrew Mandemaker

Malaysia kini dalam proses merangka Akta Antartika Malaysia, yang mana salah satu elemen utama akta tersebut ialah mewujudkan Institut Sains Polar Malaysia.

Institut itu bakal memainkan peranan penting bagi melipatgandakan penglibatan aktif Malaysia dalam penyelidikan dan penerokaan di kutub, kata Pengerusi Program Penyelidikan Antartika Malaysia Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor.

“Kita sedang merangka akta tersebut dan jika berjalan lancar, ia dijangka  boleh dibentangkan di Parlimen sebelum penghujung tahun depan,” katanya kepada wartawan selepas lawatan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin ke Akademi Sains Malaysia (ASM), hari ini.

Tuanku Mizan membuat lawatan kerja ke pusat penyelidikan di Scott Base, Antartika akhir bulan lepas.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadilah Yusof, Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia David Pine dan Presiden ASM Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali.

Salleh berkata keperluan akta itu juga berikutan keanggotaan bersejarah Malaysia dalam Triti Antartika yang baru ditandatangani pada 31 Okt lepas.

Penandatanganan tersebut juga telah meletakkan Malaysia sebagai negara pertama Asia Tenggara dan negara Islam pertama di dunia menyertai triti itu.

Keanggotaan Malaysia dalam triti itu akan membolehkan saintis negara terlibat secara langsung terbabit dalam semua penyelidikan yang dijalankan di benua Antartika.

Katanya, sebelum menyertai triti tersebut, Malaysia menghantar 24 orang saintis pada setiap tahun ke Antartika melalui negara anggota lain.

“Sebagai anggota triti, Malaysia boleh menghantar dan menyertai semua penyelidikan utama yang dijalankan oleh semua negara anggota di Antartika, dalam  persekitaran di mana sains memainkan peranan sangat penting.

“Dalam hubungan ini, ia akan meluaskan pengetahuan dan pengalaman serta membenarkan saintis kita bekerjasama dengan saintis lain,” kata Salleh.

Katanya, ASM juga bercadang mewujudkan satu felo bagi menggalakkan saintis muda negara menjalankan penyelidikan di Antartika.

– Bernama