Nelayan bantu pasang alat TED selamat populasi penyu

Nelayan bantu pasang alat TED selamat populasi penyu

Jabatan Perikanan memulakan projek perintis penggunaan alat Peranti Penyisih Penyu (TED) dengan kerjasama enam nelayan di daerah ini.

Jabatan Perikanan memulakan projek perintis penggunaan alat Peranti Penyisih Penyu (TED) dengan kerjasama enam nelayan di daerah ini.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata alat itu akan dipasang pada pukat tunda nelayan berkenaan yang digunakan untuk menangkap udang sepanjang musim tengkujuh ini, bermula November 2011 hingga Mac tahun depan.

Ahamad Sabki berkata penggunaan alat itu bertujuan menyelamat penyu, spesis yang hampir pupus, sekaligus menyelamatkan ekosistem laut.

“Dengan terjaganya ekosistem laut, ia akan membantu menjamin pendapatan nelayan.

“Mungkin juga larangan eksport udang laut dari negara kita oleh Amerika Syarikat sejak beberapa tahun lalu akan ditarik balik dengan penggunaan alat ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Kajian dan Penggalakkan Penggunaan TED kepada nelayan pukat tunda musim tengkujuh daerah Kemaman di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu Zakaria Ismail, Ketua Pusat Penyu dan Ekosistem Marin, Syed Abdullah Syed Abdul Kadir dan Pengurus Bahagian Sumber Manusia dari HUNTSMAN (Malaysia) Sdn Berhad, Azhar Aziz.

Beliau berkata sehingga kini beberapa negara yang telah mengadakan peraturan kepada nelayan pukat tunda untuk menggunakan peranti TED, antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan New Zealand.

Berdasarkan kajian awal yang dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan pada tahun 1996 dan juga penyelidik dari negara Australia dan Amerika Syarikat telah terbukti mendatangkan beberapa kelebihan, antaranya penyu yang terperangkap dalam pukat tunda juga mudah berenang keluar melalui TED yang dipasang pada pukat tunda itu, sekaligus mengurangkan kematian penyu akibat terperangkap dalam pukat itu.

Berdasarkan statistik, hampir 50 ekor penyu dikesan mati setiap tahun, dengan sebahagian besarnya disebabkan tersangkut dalam pukat hanyut dan pukat tunda setiap tahun.

Penggunaan TED juga mendapati penggunaan bahan api diesel yang kurang, hasil tangkapan ikan yang berkualiti dan bersih serta tangkapan ikan baja berkurangan. Sekiranya kajian daripada projek perintis itu berjaya, pihak jabatan akan menimbang untuk mewajibkan penggunaan alat peranti penyisih penyu itu di kalangan nelayan seluruh negara.

Perairan Kemanan dipilih sebagai lokasi kajian TED kerana pantai Teluk Mak Nik di Kampung Geliga, di sini, adalah lokasi pendaratan penyu Agar paling tinggi di Semenanjung Malaysia dan yang ketiga tertinggi selepas Pulau Selingan di Sabah dan Pulau Talang Talang di Sarawak.

Purata pendaratan penyu di pantai Teluk Mak Nik bermula 2008 hingga Nov 2011 antara 800 hingga 1,300 sarang setahun manakala pendaratan penyu pada musim tengkujuh antara Nov hingga Mac boleh mencapai sehingga 70 sarang.

Kajian penggunaan TED dibiayai sepenuhnya oleh syarikat HUNTSMAN Malaysia Sdn Bhd, pengeluar bahan kimia yang beroperasi di Kompleks Perindustrian Teluk Kalong, di sini.

HUNTSMAN menaja RM205,000 untuk membiayai kos menjalankan kajian untuk tempoh tiga tahun berakhir 2013.

– Bernama