PTPTN fleksibel sebelum senarai hitam peminjam

PTPTN fleksibel sebelum senarai hitam peminjam

Seramai 132,801 peminjam PTPTN telah disenarai hitam sehingga 31 Ogos lalu yang melibatkan jumlah pinjaman RM2.1 bilion, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Seramai 132,801 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah disenarai hitam sehingga 31 Ogos lalu yang melibatkan jumlah pinjaman RM2.1 bilion, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Namun beliau menjelaskan PTPTN bersifat fleksibel dalam menjalankan prosedur tuntutan semula pinjaman sebelum menyenarai hitam nama peminjam.

“Kita akan keluarkan empat notis peringatan termasuk notis tuntutan, notis peringatan pertama, notis peringatan kedua dan notis peringatan terakhir sebelum surat saman dikeluarkan oleh pihak mahkamah dan sekiranya peminjam masih gagal untuk tampil (menjelaskan pinjaman), maka tindakan senarai hitam akan dilakukan.

“Setiap notis yang dikeluarkan juga masing-masing mempunyai jarak tempoh yang agak lama bagi memberi ruang kepada peminjam memberikan maklum balas,” katanya menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang ingin tahu jumlah peminjam PTPTN yang telah disenarai hitam.

See also  Xsolla Curine Academy and UM join forces in digital innovation

Saifuddin berkata PTPTN tidak bermaksud untuk menyusahkan peminjam, tetapi masalah senarai hitam ini berlaku kerana sikap peminjam sendiri yang tidak mengambil peduli terhadap amaran yang dikeluarkan kepada mereka sebelum ini.

“Jika dilihat dari segi prosedur tuntutan semula pinjaman, ia dilakukan secara berperingkat sehingga ada kala PTPTN sendiri berhadapan dengan isu mengapa terlalu fleksibel dalam melayan karenah peminjam,” katanya.

– Bernama