Banjir: 654 anggota Bomba Terengganu bersiap sedia

Banjir: 654 anggota Bomba Terengganu bersiap sedia

Seramai 654 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir besar pada tahun ini.

Seramai 654 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir besar pada tahun ini.

Penolong Kanan Penguasa Bomba negeri Mohd Rozairi Abdul Rahim berkata mereka akan ditempatkan di 335 lokasi yang sering dilanda banjir sebagai langkah berjaga-jaga.

Beliau berkata pusat gerakan operasi juga sentiasa dibuka sebagai persediaan awal dalam menghadapi banjir musim tengkujuh, yang dijangka melanda negeri itu pada bila-bila masa.

“Kita telah membuat persediaan rapi menghadapi bencana banjir dan semua anggota telah diberi latihan bagi menghadapi banjir yang diramalkan teruk melanda negeri di Pantai Timur,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Mohd Rozairi berkata cuti pegawai dan anggota bomba juga akan dibekukan secara berperingkat jika banjir besar melanda negeri ini, dan jika kekuatan tidak mencukupi bagi menghadapi bencana ini, pihaknya akan meminta bantuan negeri lain.

Sementara itu, kerajaan negeri Terengganu menubuhkan Jawatankuasa Bencana Banjir bagi melicinkan misi bantuan kepada mangsa banjir di setiap daerah, khususnya proses pemindahan serta agihan bantuan keperluan harian.

Sebanyak 112 pangkalan hadapan disediakan iaitu dua di Kuala Terengganu, Kemaman (15), Dungun (sembilan), Besut (26), Hulu Terengganu (32), Marang (13) dan Setiu (15).

Turut disediakan 347 pusat pemindahan banjir yang mampu menampung lebih 51,000 mangsa pada satu-satu masa.

Sebanyak 25 pusat pemindahan disediakan di Kuala Terengganu, Kemaman (36), Dungun (52), Besut (98), Hulu Terengganu (78), Marang (23) dan Setiu (35).

– Bernama