DBKL diminta bertindak terhadap Reggae Mansion

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah diminta mengambil tindakan terhadap pengendali kemudahan penginapan di bandar raya ini yang menutup pintunya kepada rakyat dari negara tertentu, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Beliau berkata ini kerana kementerian berkenaan tidak mempunyai kuasa untuk bertindak terhadap pihak yang mengenakan larangan demikian.

Beliau menyatakan demikian apabila diminta mengulas tindakan Reggae Mansion, sebuah rangkaian hostel untuk pengembara berpejabat di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, yang dilaporkan menolak tempahan penginapan oleh rakyat Malaysia, India dan negara Timur Tengah.

Dr Ng menyatakan perkara itu selepas menyempurnakan pelancaran tidak rasmi Malaysia International Tourism Exchange (MITE) 2012 di sini hari ini.

Beliau berkata tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang mengamalkan dasar tersebut kerana ia bercanggah dengan dasar pelancongan negara.

Beliau berkata kementerian itu juga menerima laporan serupa yang melibatkan RedPalm Hostel di Jalan Tung Shin.

“Kami akan teliti perkara ini sebelum mengemukakannnya kepada DBKL dengan secepat mungkin untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mengenai pelancongan pula, Dr Ng berkata ketibaan pelancong ke negara ini terjejas oleh banjir yang melanda Bangkok, Thailand kerana kebanyakan pelancongan mengunjungi Malaysia, Thailand dan Singapura secara pakej.

Mengenai MITE, yang diadakan dari 31 Mei hingga 3 Jun tahun depan di Taman Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS), beliau berkata ia bertujuan mengumpulkan penggiat industri dan perkhidmatan pelancongan dan perjalanan di bawah satu bumbung untuk meneroka dan memanfaatkan peluang yang wujud dalam bidang itu dari seluruh dunia.

“Acara ini akan diisi dengan beraneka kegiatan menarik seperti persembahan dan pameran antarabangsa, seminar, permainan, peraduan dan pertandingan.

“Ia juga menjadi tempat untuk berkongsi dan bertukar-tukar amalan dan budaya masyarakat antarabangsa, termasuk perayaan dan makanan,” katanya.

– Bernama