DBKL sedia menghadapi banjir

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi kemungkinan banjir dengan mengaktifkan operasi bilik gerakannya untuk memantau, menerima dan menyalur maklumat kejadian banjir kepada orang ramai.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL Mohd Amin Nordin Abdul Aziz berkata DBKL kini bersedia menggerakkan petugasnya untuk menghadapi bencana itu.

“Kita menyediakan 39 anggota skuad penyelamat, 35 anggota pasukan peninjau serta 48 petugas unit kecemasan yang akan bekerjasama dengan pihak polis, bomba serta beberapa badan penyelamat lain bagi memantau serta mengambil tindakan menyelamat sekiranya banjir berlaku,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sistem amaran banjir turut ditempatkan di beberapa lokasi seperti Kampung Periuk/Kampung Baru, Jalan Tun Razak, Jalan Masjid India, Jalan Dang Wangi dan Dataran Merdeka bagi memantau kawasan rendah dan paras sungai.

“Selain itu kita juga mengenal pasti 21 sekolah di sekitar Kuala Lumpur dan 14 buah dewan serbaguna dilengkapi kemudahan elektrik dan air bersih yang boleh dijadikan pusat penempatan sementara kepada mangsa banjir,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan DBKL yang beroperasi 24 jam di talian 03-40244424/03-40220055 atau 019-2120031 untuk maklumat lanjut.

– Bernama