PAS mengucapkan Selamat Menyambut Hari Malaysia ke-49

KOTA KINABALU – Presiden Parti Islam Se-Malaysia PAS Abdul Hadi Awang ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Malaysia ke-49 kepada seluruh rakyat Malaysia.

KOTA KINABALU: Presiden Parti Islam Se-Malaysia PAS Abdul Hadi Awang ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Malaysia ke-49 kepada seluruh rakyat Malaysia bersempena pembentukan Persekutuan Malaysia yang menggabungkan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963.

“PAS menganggap pembentukan Malaysia ini merupakan satu kejayaan besar yang menyatukan negeri-negeri di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

“Semestinya kejayaan ini diteruskan dengan kejayaan membangunkannya juga,” kata Abdul Hadi Awang.

Satu majlis Pakatan Rakyat menyambut Hari Malaysia ke-49 telah diadakan di Tuaran malam Sabtu lalu dengan kehadiran Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

“Semangat ‘Hari Malaysia’ yang kita sambut ini mestilah disemarakkan dengan membaiki kesilapan-kesilapan kerajaan dalam membangunkan kesemua negeri di Malaysia khususnya Sabah dan Sarawak serta Pantai Timur Semenanjung.

“Menyedari kesemua negeri menyumbangkan hasil kepada kerajaan Persekutuan, maka layanan yang adil mesti diberikan.

“Bagi PAS, rakyat di kesemua negeri di Malaysia ini mempunyai hak yang samarata dan layanan yang adil mesti diberikan. Sebagai permulaan kepada komitmen kita membangunkan negeri-negeri di dalam Malaysia, maka PAS bersama Pakatan Rakyat bersetuju dengan komitmen untuk memulangkan royalti minyak sebanyak 20 peratus kepada Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu; sekiranya berjaya mengambilalih pemerintahan kerajaan di peringkat Persekutuan dalam PRU-13 nanti.

“Semoga sambutan Hari Malaysia ini, membawa makna yang baik kepada kesatuan yang kuat di kalangan rakyat pelbagai negeri dan bangsa, serta menatijahkan pembangunan yang seimbang dan pesat di kesemua daerah. Selamat Hari Malaysia.”

David Thien