Kanak-kanak maut disyaki didera bapa tiri di Alor Gajah

Kanak-kanak maut disyaki didera bapa tiri di Alor Gajah

Polis mengesahkan kematian kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun yang cedera di bahagian paru-paru adalah akibat didera, disyaki oleh bapa tirinya, di Alor Gajah.

Polis mengesahkan kematian kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun yang cedera di bahagian paru-paru adalah akibat didera, disyaki oleh bapa tirinya, di Kampung Padang Sebang, Alor Gajah, hari Isnin.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata bedah siasat mendapati kanak-kanak malang itu, Mohd Firdaus Md Dan, mengalami kecederaan serius di bahagian otot dan lebam pada paru-parunya.

“Bedah siasat mendapati kecederaan yang dialami mangsa merupakan kecederaan baru iaitu dalam tempoh 24 jam. Pemeriksaan luaran badannya mendapati terdapat pendarahan di lapisan bawah kulit dan calar akibat didera menggunakan objek tumpul,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Umar Ali Saifuddin berkata mangsa meninggal dunia beberapa minit selepas menerima rawatan di Hospital Alor Gajah, dan jenazahnya kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Beliau berkata suspek berusia 37 tahun, yang bekerja sebagai pencari kayu api, direman tujuh hari mulai hari ini, selepas ditahan di kawasan Hospital Alor Gajah sejurus menghantar mangsa kira-kira 4.30 petang semalam.

“Suspek disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sehingga mati,” katanya.

Umar Ali Saifuddin berkata kanak-kanak malang itu merupakan anak bongsu daripada enam beradik hasil perkahwinan pertama ibunya.

Ketika ditemui di Hospital Melaka, ibu mangsa, Rosmah Pemadi, 41, yang masih berpantang selepas 10 hari melahirkan anak pertama hasil perkahwinan bersama suspek, tidak dapat menahan sebak dan berkata beliau tidak akan memaafkan perbuatan suaminya itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Melaka Norpipah Abdol berkata pihaknya akan memberi bantuan segera kepada ibu mangsa bagi meringankan beban serta trauma yang dialami.

– Bernama