Kampung Serudong Ulu: Sudah jatuh ditimpa tangga

Penduduk Kampung Serundong Ulu bersama wakil SAPP

Nasib penduduk Kampung Serudong Ulu, Kalabakan boleh dikatakan bak sudah jatuh ditimpa tangga.

Penduduk di kampung ini berhadapan dengan tekanan daripada pemaju syarikat kelapa sawit, apabila mereka di usir dari tanah halaman mereka dan rumah mereka dirobohkan serta tanaman mereka dirosakkan.

Kampung Serudong Ulu terletak di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia iaitu kira-kira 130 km daripada bandar Tawau. Perjalanan ke kampung ini memakan masa 4 jam dari Tawau.

Wakil penduduk Serudong Ulu, Enggang Bin Lingkasing, menyatakan bahawa kampung Serudong Ulu telah lama wujud sejak sebelum Konfrontasi Malaysia – Indonesia pada tahun 60an. Keadaan hidup orang Murut di sini tidak pernah berubah semenjak itu dan acapkali hidup dalam kesempitan.

Penduduk Serudong Ulu menyatakan bahawa mereka amat berterima kasih kepada pihak British yang pada masa itu telah memberikan tanah yang mereka duduki sekarang dan juga menganggapnya sebagai tanah adat kaum Murut sejak beberapa generasi terdahulu.

“Sebelum ini sekurang – kurangnya 70 puluh buah rumah masih berada di atas tanah adat tetapi apabila rumah – rumah tersebut dirobohkan oleh syarikat kelapa sawit, sekarang hanya tinggal 20 buah rumah sahaja yang ada,” ujar Enggang dengan nada sayu.

“Orang kampung telah merayu kepada kerajaan dan juga wakil rakyat Kalabakan dan juga telah melaporkan kepada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) supaya tanah adat kami dikembalikan,” ujar Enggang lagi yang mengatakan mereka tidak tahu samada tanah mereka dipindahmilik kepada orang lain.

Enggang juga meluahkan bahawa mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya bercucuk tanam untuk membiayai keluarga dan anak-anak mereka. Sekiranya tanah mereka diambil, anak-anak mereka tidak boleh bercucuk tanam, memandangkan mereka tidak bersekolah.

Penduduk Kampung Serudong Ulu ini yang terdiri dari suku kaum Murut dan diketuai oleh Jamal Lawingon telah menjemput wakil SAPP sebagai tanda penghargaan kerana membantu mereka dalam isu tanah adat. SAPP telah membantu menyerahkan satu memorandum bantahan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman.

Isu tanah adat (NCR) bukan sahaja berlaku di Serudong Ulu tetapi juga di seluruh Sabah amnya. Baru-baru ini Suhakam melaporkan bahawa terdapat lebih 1000 aduan berkenaan tanah telah diterima oleh mereka dan daripada jumlah tersebut 824 kes adalah dari Sabah