Penduduk Kampung Tambatuon, Kota Belud dalam dilema

Penduduk Kampung Tambatuon, Kota Belud dalam dilema

Para penduduk Kampung Tambatuon tidak akan menjualkan tanah yang mereka duduki dan diusahakan sekian lama kerana ia sepatutnya diwariskan kepada anak cucu mereka.

Mantan Ketua Kampung Tambatuon Kota Belud, Singkui Tinggi

Satu mesyuarat tergempar telah diadakan di Dewan Mini, Kampung Tambatuon, yang telah dihadiri oleh 140 orang untuk membincangkan isu empangan Tambatuon, baru baru ini.

Mesyuarat tersebut telah membincangkan kenyataan yang telah dibuat oleh Datuk Herbert Timbun Lagadan melalui akhbar Daily Express pada 14 Julai mengenai pembinaan empangan tersebut yang dikatakan boleh menjana RM500,000 setahun untuk penduduk kampungan tersebut.

Mantan Ketua Kampung Tambatuon, Kota Belud, Singkui Tinggi berkata penduduk kampung tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan kerana RM 500,000 tidak cukup untuk menampung perbelanjaan mereka.

“Wang RM 500,000 jika dibahagi di antara 898 orang penduduk kampung, hanya membawa hasil RM 42.00 untuk sebulan untuk satu orang. Wang ini tidak cukup untuk menampung keluarga,” kata Singkui.

See also  Forest City gets boost with PM visit and future plans

Para penduduk kampung juga tidak akan menjualkan tanah yang mereka duduki dan diusahakan sekian lama kerana ia sepatutnya diwariskan kepada anak cucu mereka, ujar Singkui.

Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan tidak sepatutnya membuat tawaran untuk membeli kampung mereka kerana pada masa ini, melalui hasil usaha mereka dengan tanaman getah, padi sawah, padi bukit serta buah-buahan, pendapatan mereka tidak kurang dari RM 5,000.00.

Singkui juga menambah, lawatan ke empangan di Kedah adalah satu pembaziran dan tidak akan memberi manfaat kepada penduduk kampung kerana mereka tidak akan menjual tanah mereka.

Singkui yang mewakili penduduk kampung juga menegaskan bahawa rakyat memilih wakil rakyat untuk membela nasib mereka dan memajukan ekonomi rakyat, bukan sebaliknya.

See also  Forest City gets boost with PM visit and future plans

Sebagai tindakan susulan, AJK Bertindak Kampung Tambatuon telah menghantar memorandum kepada Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri untuk menyelesaikan masalah mereka.

Mesyuarat ini telah dihadiri oleh penduduk Kampung Tambatuon dan Pengerusi Badan Bertindak, Encik Jehim Singkui, WKN Sayhui Sumbin , KK Yamin Goling, dan PJKK Sindih Giong.

Wendy Chia