Rakyat Malaysia dinasihati tangguh lawatan ke selatan Thailand

Rakyat Malaysia dinasihati tangguh lawatan ke selatan Thailand

Kementerian Luar semalam menasihati rakyat Malaysia agar menangguhkan sebarang lawatan tidak mustahak ke selatan
Thailand berikutan kejadian letupan bom pada Jumaat yang menyebabkan empat rakyat Malaysia maut dan 18 yang lain cedera.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, kementerian itu mengingatkan warganegara Malaysia agar menangguhkan dahulu lawatan mereka sehingga keadaan keselamatan di wilayah berkenaan kembali pulih.

“Kementerian Luar terus memantau perkembangan di sana menerusi Kedutaan Malaysia di Bangkok dan pejabat Konsul di Songkhla yang berhubung terus dengan pihak berkuasa Thai untuk memberi bantuan kepada semua rakyat Malaysia yang
terbabit dalam kejadian berkenaan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla melaporkan empat rakyat Malaysia termasuk seorang budak lelaki berumur tiga tahun terbunuh dalam kejadian letupan bom itu di Sungai Golok, selatan Thailand
pada Jumaat malam.

Mereka yang terbunuh ialah Wong Hong Yep, 63, Wong Kai Sean, 3, Fong Too Keh, 45, dan Chan Yau Wing, 52, dan mayat mereka dibawa pulang ke Malaysia oleh keluarga masing-masing kelmarin.

Kenyataan itu menerangkan daripada 18 rakyat Malaysia yang cedera itu, lima masih dirawat di Hospital Sungai Golok, seorang di Hospital Yala, manakala yang lainnya dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan pesakit luar.

Mereka yang masih dirawat di Hospital Sungai Golok adalah Ling Yee Lung, 28, Lai Yok Long, 52, Phoo King Kuang, 54, Wee It Cheng, 61, dan Cheng Yew Mang, 40, manakala Ng Sai Kai, 63, menerima rawatan di Hospital Yala.

– Bernama