Kastam Sabah rampas syabu bernilai RM1.3juta di KKIA

Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah merampas “methamphetamine” atu syabu seberat 5.063 kilogram (kg) bernilai RM1.3 juta di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) awal minggu ini.

Timbalan Pengarah Kastam Negeri Sabah, Hamzah Sundang berkata pihaknya turut menahan seorang wanita warganegara Kenya berumur 31 tahun sebaik suspek tiba dari Bandar Segi Begawan, Brunei Darussalam dengan penerbangan BI-0826 Royal Brunei Air.

“Kesemua dadah ditemui tersembunyi di dalam dua bagasi suspek iaitu di bawah lantai palsu beg yang ditutup dengan menggunakan plywood dan lapisan plastik.

“Dadah itu dibungkus dengan menggunakan kertas aluminium foil,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kastam Negeri.

Hamzah berkata turut dirampas ialah sejumlah mata wang asing.

Beliau berkata kejayaan itu adalah hasil daripada kecekapan pemantauan dan penilaian risiko oleh pegawai kastam di Unit Khas Pemeriksaan Terminal 1, KKIA.

Berdasarkan rekod penerbangan suspek iaitu Ethiopia-Dubai-Brunei-Kota Kinabalu dan modus operandinya, suspek dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa, katanya.

Hamzah berkata suspek kini ditahan reman selama tujuh untuk siasatan lanjut. Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, hukumannya ialah gantung sampai mati.

Pada 31 Julai lepas,  jabatan itu juga berjaya merampas 5.8 kg dadah jenis ketamin dan turut menahan seorang warganegara Malaysia di sini dan kes tersebut sedang menunggu sebutan kedua di mahkamah pada 22 Sept, katanya.

– Bernama