Wanita Murut terkilan nama dicicirkan SPR

Seorang wanita Murut yang mendaftar sebagai pengundi untuk kawasan dewan undangan negeri Melalap dan parlimen Tenom mendakwa namanya sebelum ini pernah dicicirkan daripada senarai daftar pemilih.
Perkara ini disedari beliau ketika membuat pemeriksaan pendaftaran pengundian dilaman sesawang Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) tidak berapa lama dahulu.
Bercakap di hadapan wartawan di pejabat parti DAP Sabah di Penampang Selasa lepas, Kohilin Helena Tulas, 50, turut mendakwa, nama beliau turut ditukarkan menjadi seseorang yang bernama ‘Karim Bin Hassan.’
Kali pertama beliau mengesan perkara tersebut adalah pada 11hb November 2010 semasa membuat pemeriksaan secara dalam talian.
Kohilin berkata, “ Nombor kad pengenalan serta alamat saya adalah betul, tetapi nama yang tertera semasa pemeriksaan tersebut adalah salah. Ia adalah nama seorang lelaki yang bernama Karim bin Hassan yang lahir pada 3hb April 1947.”
Kemudiannya pada 25hb Jun 2011, beliau telah membuat pendaftaran semula di kaunter SPR yang dibuka semasa berlangsungnya acara ‘Jom Heboh’ di Kota Kinabalu.
Ketika itu, Kohilin meminta petugas di kaunter tersebut untuk membuat pembetulan nama beliau disamping menukarkan rekod nombor kad pengenalan lama kepada yang baru.
“ Saya diminta untuk menunggu selama tiga bulan. Tetapi, saya hanya membuat pemeriksaan semula enam bulan selepas itu, iaitu pada 31hb Disember juga melalui laman web. Namun, saya dapati hanya rekod nombor kad pengenalan saya sahaja yang diperbaharui. Nama Karim bin Hassan masih kekal,” kata Kohilin.
Sebelum itu beliau telah membuat rujukan daripada orang-orang kampung beliau mengenai orang tersebut tetapi tiada siapa yang mengenalinya, katanya lagi.
“ Saya berasal daripada Kampung Sawang, Tenom. Jumlah penduduk di sana tidak sampai 200 orang. Kami kenal diantara satu sama lain. Tetapi tiada sesiapa pun orang kampung saya yang kenal dengan orang ini. Adalah mustahil jika beliau tidak dikenali kerana jumlah penduduk sana tidak ramai,” ujar beliau.
Ketika ditanya samada beliau ada merujuk perkara tersebut kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) beliau berkata, JPN telah pun mengesahkan kad pengenalan tersebut adalah miliknya tetapi enggan memberi sebarang komen berkenaan dengan perkara yang dia hadapi.
Sebelum ini, Kohilin telah terlepas peluang untuk membuang undi sebanyak dua kali kerana bekerja di Kuala Lumpur. Kali terakhir adalah pada tahun 90an.
“ Kali ini saya mahu mengundi kerana sudah lama tidak berbuat demikian. Tetapi saya merasa sangat kecewa kerana hak saya selama ini telah diambil orang. Mungkin mereka melihat nama saya seperti ketinggalan zaman. ”
“ Saya rasa sebelum ini, nama saya telahpun digunakan oleh orang lain.” Katanya sambil menegaskan laporan polis akan dibuat.
Walaubagaimanapun, pemeriksaan yang dibuat pada laman SPR semasa sidang akhbar tersebut mendapati nama Karim bin Hassan telah tiada dan ditukar semula kepada nama Kohilin.
Namun, Kohilin menegaskan ada menyimpan bukti cetakan.
Sementara itu, Setiausaha Kebangsaan Belia DAP Sabah Junz Wong yang turut hadir berkata, walaupun perkara itu telahpun diperbetulkan, tetapi ia adalah suatu fakta yang berlaku.
Perkara ini menunjukkan seolah-olah sesiapa yang tidak aktif mengundi untuk beberapa penggal, namanya akan ditukarkan kepada orang lain.
“ Saya minta kepada para pengundi semua untuk membuat pemeriksaan. Hubungi kami jika terdapat masalah.
Kohilin kini ingin mengundi dan apa yang berlaku pada beliau membuktikan isu ini benar-benar wujud,” ujar Junz.