PIBG anjur Majlis Makan Malam untuk dana kemudahan pengangkutan

KOTA KINABALU – Persatuan Ibubapa dan Guru mampu memberikan impak besar dalam melahirkan insan berguna.

 

Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang mampu memberikan impak besar dalam membantu kerajaan melahirkan insan berguna.

Perkara ini ditekankan oleh wakil Pengarah Pelajaran Negeri Sabah, Dikin Musa semasa Majlis Makan Amal PIBG SMK Taman Tun Fuad bertempat di Hotel Le Meridian, Sabtu lepas.

Dikin berkata, sesebuah sekolah pasti akan menghadapi kesukaran menghadapi cabaran pendidikan tanpa adanya kerjasama daripada PIBG.

“Saya berharap agar persatuan ibu bapa dan guru sentiasa memainkan peranan secara aktif untuk membantu pihak sekolah mencapai misi dan visi yang disasarkan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” kata beliau.

Tambahnya lagi, “Sesungguhnya, peranan PIBG di sekolah adalah amat penting dalam mencapai kecemerlangan pendidikan di sesebuah sekolah.”

Seiring dengan itu, beliau turut memuji usaha PIBG SMK Taman Tun Fuad didalam menganjurkan majlis makan malam tersebut.

Majlis tersebut adalah bertujuan mengumpul dana untuk pembelian kenderaan bagi mengatasi masalah pengangkutan para pelajar sekolah tersebut.

“Atas sebab ini, saya berbangga dengan usaha murni yang dilakukan oleh PIBG untuk membantu pihak sekolah mengatasi masalah pengangkutan untuk membawa pelajar-pelajar mengikuti pelbagai aktiviti di luar sekolah,” kata beliau sambil menghargai sumbangan daripada orang perseorangan dan badan-badan korporat.

SMK Taman Tun Fuad merupakan sebuah sekolah di Kota Kinabalu yang baru ditubuhkan pada tahun 2001.

Setakat ini, sekolah tersebut telah berjaya menunjukkan beberapa pencapaian di peringkat negeri dan kebangsaan yang membanggakan.

Antaranya adalah kejayaan mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records kerana berjaya menghasilkan bakul mini daripada surat khabar sebanyak 2500 buah pada Oktober 2012.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pengetua SMK Taman Tun Fuad, Hajjah Siti Salmiah Hj Samaie dan para jemputan khas, manakala penaung bagi majlis tersebut adalah Ketua Menteri Sabah, Musa Aman.

Gary Louis Supi