Wanita syukur beliau dan anak-anak selamat dari cubaan merompak

KOTA KINABALU – Seorang wanita mengucapkan syukur kerana terlepas dari cubaan merompak.

Seorang wanita melahirkan rasa syukur beliau kerana terselamat daripada kejadian yang beliau percaya sebagai percubaan untuk merompak beliau, keluarganya serta seorang rakannya.

Jenne Lajiun, 40 tahun, memberitahu Citizen Journalist Malaysia (CJMY) bahawa, kejadian tersebut baru saja berlaku iaitu Selasa lepas.

Jenne bersama dengan salah seorang anaknya yang turut berada di tempat kejadian.

Katanya, kejadian itu bermula apabila kereta yang dipandunya bersama dua orang anaknya yang masih menuntut di sekolah rendah, dan seorang rakan wanita, telah rosak dan terhenti di tepi jalan berhadapan dengan gereja Sacret Heart, Kota Kinabalu.

Jenne berkata, “ Ini berlaku kira-kira jam enam petang Selasa lepas. Kereta yang saya pandu tiba-tiba tidak dapat bergerak. Saya terpaksa berhenti di tepi jalan.”

Beliau kemudiannya turun lalu memeriksa kenderaan tersebut dan menelefon saudaranya untuk bantuan.

Ketika sedang menunggu bantuan, tiba-tiba muncul seorang lelaki dengan cara yang amat mencurigakan.

Jenne berkata, “ Lelaki itu datang dari arah seberang jalan. Di tengah-tengah jalan terdapat penghadang jalan dan dia terus melompat dengan cepat lalu bergerak kearah kami.

“Kami merasa ada sesuatu yang tidak kena.”

Belum pun sempat mereka berbuat apa-apa, lelaki tersebut sudah pun berada dekat dengan mereka dan berpura-pura bertanyakan masalah mereka.

“ Ketika itu, kami lihat dia sedang menyembunyikan sesuatu di poket seluarnya. Dia juga kelihatan sedang cuba mengeluarkannya. Kami bagitau dia bahawa kami sedang tunggu polis datang,” tambah beliau yang cemas ketika itu.

Tetapi lelaki tersebut nampak tidak takut malahan mula kelihatan agresif.

Merasa terancam dengan situasi tersebut, dengan serta merta mereka beredar cemas dari tempat itu menuju jejantas berhampiran untuk ke seberang jalan raya.

Langkah bijak yang diambil oleh Jenne dan rakannya untuk membawa kanak-kanak yang bersama mereka ke jejantas ini telah menyelamatkan mereka dari situasi cemas tersebut

Setibanya mereka di jejantas, seorang daripada anaknya sempat menoleh kebelakang dan melihat lelaki itu mengejar mereka.

Dalam keadaan ini, mereka terus berlari panik menuju ke seberang dan berjaya mendapatkan beberapa orang lalu menunjukkan kepada mereka lelaki tersebut.

Mungkin takut dengan keadaan ramai memerhatikannya, lelaki itu kemudiannya beredar dari tempat itu.

“ Kami cemas dengan keadaan itu. Saya juga bimbang dengan keselamatan anak-anak saya. Semua barang yang ada dalam kereta kami tinggalkan kerana keselamatan diri lebih penting,” kata beliau ketika ditanya tentang perasaanya ketika itu.

Kejadian rompak telah banyak kali dilaporkan berlaku di kawasan tersebut dan Jenne juga pernah mendengarnya.

Kali ini, beliau sendiri tidak menyangka kejadian seumpama itu berlaku terhadap diri dan anak-anaknya.

“ Saya bersyukur kerana tidak berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini terhadap kami,” kata Jenne yang bekerja sebagai wartawan di salah sebuah akhbar tempatan disini.

Kerosakkan mekanikal menyebabkan kereta Jenne terhenti di lokasi ini.

“ Saya rasa, pondok polis perlu didirikan di kawasan itu kerana sudah banyak kejadian yang berlaku. Sekurang-kurangnya kejadian dapat dikurangkan. Penjenayah akan berfikir dua kali kerana adanya polis di situ.”

Tambah beliau lagi yang tidak menolak kemungkinan untuk membuat laporan polis berkenaan perkara tersebut.

Hampir semua kejadian rompakan yang berlaku di kawasan itu diketahui melibatkan pejalan kaki .

Pernah beberapa tahun lepas, dua pemuda tempatan telah dikepung lima lelaki warganegara asing yang bersenjatakan pisau.

Para perompak tersebut meminta kesemua wang yang dibawa mereka, tetapi jumlah yang diserahkan tidak memuaskan hati mereka.

Mereka kemudiannya dibelasah sebelum perompak-perompak tersebut melarikan diri sambil ketawa dan menunjukkan isyarat lucah.

 

Gary Louis Supi