Pasangan kekasih ditahan, 3.3kg heroin dirampas

Polis menahan dua lelaki dan dua wanita yang dipercayai terbabit mengedar dadah jenis heroin dalam dua serbuan berasingan Isnin lepas di Kuala Kubu Baru dan Petaling Jaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ACP Nordin Kadir berkata dalam serbuan pertama, polis menemui lima bungkusan plastik lutsinar dipercayai mengandungi heroin yang disorok selepas menahan sebuah kereta dinaiki seorang lelaki dan seorang wanita di kawasan rehat dan rawat Hulu Bernam.

“Polis turut menahan seorang lagi lelaki yang dipercayai sedang berurus niaga dengan lelaki dan wanita di dalam kereta berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Beliau berkata maklumat seorang suspek lelaki yang ditahan membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Taman Aman, Petaling Jaya pada hari sama dan polis menjumpai tiga bungkusan plastik lutsinar dipercayai turut mengandungi heroin.

Katanya, seorang wanita yang merupakan kekasih suspek lelaki terbabit turut ditahan di rumah berkenaan.

Nordin berkata jumlah keseluruhan rampasan dadah terbabit ialah lapan bungkusan lutsinar seberat 3.3 kilogram yang bernilai kira-kira RM74,000.

Beliau berkata semua suspek berusia lingkungan 20 hingga 47 tahun itu dipercayai anggota sindiket yang bergiat aktif sejak tiga bulan lepas, dan mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah di utara dan mereka yang ditahan di Hulu Bernam dipercayai baru mendapat bekalan dadah dari Pulau Pinang.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki warga Nigeria ditahan di balai ketibaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada kira-kira 4 petang hari yang sama selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

Nordin berkata selepas diperiksa, polis menemui dadah dipercayai jenis Syabu seberat 1.3 kilogram dan dianggar bernilai RM260,000 dalam beg bimbit komputer riba milik suspek berusia 28 tahun itu yang baru tiba dari Doha, Qatar.

Beliau berkata kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– Bernama