Luahan hati pemilik kedai bunga

GEORGE TOWN – Pengusaha kedai bunga, Rajati, berpendapat, perniagaan memerlukan pengalaman, kepakaran dan pengorbanan. [VIDEO]

 

Selama 10 tahun, Rajati yang berumur 39 tahun mengusahakan kedai bunga malai yang dinamakan sebagai Ati, di kawasan Little India, George Town, Pulau Pinang.

Kedai beliau merupakan di antara 6 kedai milik Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di kawasan Little India yang sedang beroperasi untuk menampung keperluan pelanggan untuk pelbagai jenis aktiviti harian.

Menurutnya jenis-jenis bunga hiasan seperti bunga taburan, jambak bunga, bunga malai dibeli oleh semua golongan kaum untuk upacara sembahyang, perkahwinan, majlis kebesaran dan sebagainya.

Harga yang beliau tetapkan untuk bunga segar adalah bergantung kepada hiasannya.

“Perniagaan ini bukan sesuatu yang boleh dianggap sebagai remeh-temeh. Ianya memerlukan pengalaman, kepakaran dan juga pengorbanan, baru ah keuntungan dapat dinikmati,”ujar beliau.

Walaubagaimanapun beliau terpaksa mengharungi cabaran-cabaran seperti kenaikan harga bunga serta bekalan terhad dari Cameron Highlands dan Thailand.

Bunga-bunga ini juga harus dijaga dengan rapi supaya ianya segar untuk beberapa hari.

Bunga-bunga hiasan yang berwarna-warni pernah dijual oleh pemborong pada harga 4 sen untuk sekuntum dan kini harganya sudah mencecah 7 sen sekuntum. Rajati juga berkata ia mungkin akan dinaikkan kepada10 sen dalam masa yang terdekat.

Menurut Rajati, pemborong memberikan pelbagai alasan untuk menaikkan harga seperti kekurangan tenaga kerja untuk mengusahakan kebun.

Rajati juga menasihatkan pemuda-pemudi yang berminat untuk menceburi dalam perniagaan penjualan bunga, haruslah berfikiran kreatif untuk memajukan perniagaan ini serta mengamalkan kesempurnaan dalam menghabiskan kerja yang diamanahkan.

Sathis Kumar