Bekas AJK kuil gesa ROS melakukan siasatan menyeluruh

MERSING – Pihak pengurusan kuil didakwa melakukan pelbagai kesalahan di antaranya penyelewengan dana kuil dan gagal mengendalikan mesyuarat tahunan.

Sekumpulan  dua puluh orang penduduk yang beragama Hindu dari bandar Mersing menyeru agar Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dan pihak berkuasa tempatan melakukan penyiasatan menyeluruh ke atas pihak pengurusan Sri Subramaniar Kuil Paribalana Sabha.

Penyelaras kumpulan ini, Piara Singh Atma Singh, 47, mendakwa pengurusan kuil telah melakukan pelbagai kesalahan di antaranya penyelewengan dana kuil, gagal mengendalikan mesyuarat tahunan,  tidak mengemaskinikan akaun dan perbelanjaan yang dilakukan tanpa persetujuan ahli jawatan kuasa.

“Kami telah membawa perkara ini kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysian cawangan negeri Johor untuk mengambil tindakan terhadap pengurusan kuil. Tetapi kami kecewa jabatan tidak melakukan penyiasatan menyeluruh terhadap dakwaan kami,” kata Piara Singh.

“Kami berhasrat untuk menyelamatkan kuil ini daripada kemusnahan akibat perbuatan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terutama dalam pengendalian dana kuil,” ujarnya lagi.

Masalah ini telah pun disiarkan dalam harian Tamil Malaysian Namban dan Thinakural pada September 2012.

Sebelum ini juga Piara Singh telah membuat satu laporan polis pada bulan Mac 2012 berhubung perjalanan mesyuarat tahunan dan penyelewengan dalam akaun kuil tersebut.

Walaupun siasatan pihak  Jabatan Siasatan Jenayah Komersial daerah Mersing terhadap pengurusan kuil ditutup pada Januari 9, 2013, kes ini dirujuk semula kepada Timbalan Pendakwa Raya Johor pada Januari 15, 2013 dengan tujuan untuk meneruskan penyiasatan dengan lebih teliti untuk mendapatkan keterangan yang lengkap.

“Kami mahu pihak berkuasa melakukan penyiasatan yang menyeluruh terhadap salah laku pengurusan kuil. Kami tidak akan berdiam diri melihat ketidakadilan yang berlaku,”kata Singh lagi.

CJMY juga telah menghubungi Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysian cawangan negeri Johor, Lim Jit Ngoh, untuk mendapatkan ulasan lanjut terhadap kes ini.

Menurut beliau, kes ini kini dalam rujukan semula di bahagian pusat.

Kata Lim lagi, Piara Singh mempunyai hak untuk merujuk kes ini semula dan keputusan akan dikeluarkan selepas penyiasatan semula selesai.

Setiausaha Sri Subramaniar Kuil Paribalana Sabha, Murthy Ramalingam pula menyatakan bahawa ROS telah menarik balik surat pembatalan pertubuhan pada September 20, 2012, selepas berpuas hati dengan siasatan ke atas dakwaan tidak mematuhi undang-undang pertubuhan.

Murthy berkata, ROS telah menghantar surat tunjuk sebab pada bulan Ogos dan mengarahkan pertubuhan tersebut untuk membuat rayuan.

“Selepas siasatan tersebut, kami menerima surat menyatakan pertubuhan tersebut tidak akan dibatalkan, malah kami akan mengadakan mesyuarat tahunan seterusnya pada Mac 13, 2013,” ujar Murthy.

Berhubung dengan dakwaan terbaru, Murthy menyatakan bahawa ROS belum menghubungi mereka untuk sebarang siasatan.

 

Saminathan