Cuti Polis Kelantan dibeku, diminta bertugas

Cuti Polis Kelantan dibeku, diminta bertugas

Cuti lebih 100 anggota polis trafik yang berkhidmat di Kelantan dibekukan untuk memberi fokus keselamatan jalan raya beberapa hari sebelum dan selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Cuti lebih 100 anggota polis trafik yang berkhidmat di Kelantan dibekukan untuk memberi fokus keselamatan jalan raya beberapa hari sebelum dan selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata kesesakan teruk dijangka berlaku sepanjang tempoh perayaan itu apabila lebih sejuta rakyat Kelantan akan pulang berhari raya di kampung masing-masing.

“Polis akan berusaha mengawal keselamatan mereka sama ada mengadakan sekatan jalan raya atau memberi nasihat panduan selamat dan mencegah kenderaan dari berhenti di tepi jalan,” katanya kepada pemberita pada majlis serah menyerah tugas Ketua Polis Daerah Bachok, hari ini.

Majlis itu diadakan berikutan persaraan Ketua Polis Daerah Bachok DSP Yahya Salleh yang digantikan dengan Ketua Polis Daerah Kuala Krai DSP Abdul Rahim Che Ghani.

Bagi mereka yang ingin menyambut hari raya di luar Kelantan, Jalaluddin berkata pemilik kediaman boleh memaklumkannya di balai-balai polis berdekatan bagi memudahkan polis membuat rondaan bagi keselamatan rumah mereka.

Mengenai penyalahgunaan buku pelaut di kalangan lebih 5,000 nelayan asing di Kelantan, beliau berkata polis akan melakukan siasatan mengenainya menjalinkan kerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan jabatanĀ  berkaitan.

Sebelum ini, pelbagai pihak mendakwa terdapat penyelewengan apabila buku berkenaan dikeluarkan di Thailand sedangkan pemilik sebenarnya bukan terdiri daripada rakyat negara itu.

Mereka bimbang penipuan itu akan diambil kesempatan oleh penjenayah antarabangsa dengan menyamar sebagai nelayan dan melakukan kegiatan jenayah di negara ini.

– Bernama