Isu KUIN: SMM adakan perbincangan di KPT Putrajaya

Isu KUIN: SMM adakan perbincangan di KPT Putrajaya

Sekretariat media SMM, Ahmad Shukri Kamarudin berkata pertemuan yang berlangsung hampir dua jam itu di adakan berikutan dengan perjuangan SMM untuk membela nasib dan suara mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang telah dijatuhkan hukuman gantung pengajian selama 2 semester dan 1 semester.

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) telah mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah di Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Sekretariat media SMM, Ahmad Shukri Kamarudin berkata pertemuan yang berlangsung hampir dua jam itu di adakan berikutan dengan perjuangan SMM untuk membela nasib dan suara mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang telah dijatuhkan hukuman gantung pengajian selama 2 semester dan 1 semester.

Dalam pertemuan tersebut, menurutnya timbalan menteri pengajian tinggi itu telah menerima memorandum daripada SMM yang mengandungi beberapa tuntutan serta pendirian di peringkat mahasiswa berhubung isu ini.

“Antara tuntutan memorandum tersebut ialah SMM berharap supaya pihak KPT boleh menggunakan kuasa konsultasi yang ada untuk menasihati pihak pentadbiran KUIN menggunakan budi bicara bagi meringankan hukuman yang telah dijatuhkan ke atas 6 orang mahasiswa KUIN tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Mengulas lanjut, Ahmad Shukri menjelaskan SMM juga berharap supaya pihak kerajaan negeri Kedah dapat mencontohi langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam mendepani kegiatan aktivisme mahasiswa di Universiti Selangor (UNISEL).

Menurutnya Kerajaan Negeri Selangor melalui Menteri Besarnya telah menggunakan kuasa konsultasi yang ada untuk menasihati pihak pentadbiran universiti supaya lebih profesional dalam mendepani aktivisme mahasiswa sehingga UNISEL telah mengumumkan bahawa universiti tersebut bebas daripada cengkaman AUKU mahupun mana-mana undang-undang yang menzalimi mahasiswa.

Sementara itu, Datuk Saifuddin Abdullah turut melahirkan rasa terkejut dan kecewa beliau terhadap tindakan pihak KUIN yang telah menjatuhkan hukuman yang berat termasuk terhadap Yang diPertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) KUIN, Mohd Faiz Arsyad yang telah dijatuhkan hukuman gantung pengajian selama 2 semester.

See also  CTOS and AirAsia Academy join forces to empower SMEs

Menurut beliau, hukuman gantung pengajian terhadap Mohd Faiz di mana-mana kampus amat jarang sekali berlaku dan jika ia berlaku sekali pun, ia haruslah berdasarkan kesalahan yang benar-benar serius.

“Namun apa yang berlaku beliau telah dijatuhkan hukuman tersebut di atas kesalahan berdemonstrasi, mengadakan sidang media di dalam kampus dan menggunakan pembesar suara tanpa kebenaran dalam demonstrasi,” katanya.

Datuk Saifuddin turut memaklumkan bahawa inilah kali pertama sejak beliau berkhidmat di dalam kerajaan dan menjadi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi beliau menerima berita tentang YDP MPP di kampus dijatuhkan hukuman gantung pengajian.

Menurutnya, YDP MPP merupakan seorang yang paling dihormati di kalangan mahasiswa di sesebuah kampus dan proses menjatuhkan hukuman terhadap YDP MPP juga harus mempunyai kuasa budi bicara yang lebih luas berdasarkan keperibadian yang ada pada seseorang YDP MPP.

“Saya akan berusaha untuk mencari jalan bagi membolehkan kesemua 6 orang mahasiswa tersebut dapat mengemukakan rayuan kepada pihak yang lebih tinggi setelah rayuan mereka kepada Rektor KUIN ditolak selepas sebulan mereka mengemukakan rayuan tersebut.

“Jika di dalam kes AUKU, seseorang mahasiswa itu boleh mengemukakan rayuan sehingga ke pihak Menteri Pengajian Tinggi, namun di dalam kes KUIN ini proses rayuan tertinggi adalah sehingga kepada pihak Rektor kolej jadi saya akan berusaha untuk membolehkan 6 orang mahasiswa KUIN tersebut mengemukakan rayuan kepada pihak yang lebih tinggi,” tegasnya.

See also  Pepsodent sets new record with toothbrushing event

Ahmad Shukri berkata SMM mengambil pendekatan untuk membawa isu KUIN ini terus kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi selepas pihak SMM telah melalui segala proses dan prosedur yang ada dalam usaha untuk menyelesaikan kemelut ini, namun jalan penyelesaian yang diharapkan menemui jalan buntu.

Menurutnya usaha-usaha yang telah dilakukan oleh pihak SMM dan 6 orang mahasiswa KUIN tersebut termasuklah menyerahkan memorandum kepada pihak parti PAS dan PKR, bertemu dengan pihak pentadbiran KUIN dan akhir sekali melalui proses rayuan kepada pihak Jawatankuasa Rayuan KUIN.

Difahamkan, dalam kemelut melanda isu KUIN, 6 orang mahasiswa telah dijatuhkan hukuman atas kesalahan berdemonstrasi di dalam kampus, mengadakab sidang media dan menggunakan pembesar suara.

Namun seorang daripada mereka telah diringankan hukuman kerana beliau telah tamat pengajian dan hukuman yang telah dikenakan ke atas beliau adalah beliau dilarang daripada memasuki premis KUIN sehingga seminggu sebelum majlis graduasi.

Manakala 4 orang mahasiswa yang juga terdiri daripada ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah dijatuhkan hukuman gantung pengajian selama 1 semester dan seorang iaitu Yang diPertua MPP KUIN telah dijatuhkan hukuman gantung pengajian selama 2 semester.