Piket NUBE di Pulau Pinang bukti pekerja bank bersatu

PULAU PINANG – Lebih kurang 200 ahli NUBE telah berpiket di MWF Plaza untuk menyuarakan ketidakpuashatian mereka terhadap pengurusan dan majikan beberapa bank.[VIDEO]

Semalam, seramai lebih kurang 200 ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja Pekerja Bank (NUBE) wilayah utara telah melancarkan piket di hadapan bangunan MWE Plaza di Jalan Farquhar Pulau Pinang.

Piket yang diadakan adalah kesinambungan dari Piket Daulat 6413 yang diadakan secara besar besaran di Kuala Lumpur pada 6 April yang lalu.

Walaupun piket kali ini berskala lebih kecil dari Piket Daulat di ibu negara tempoh hari, namun ianya tidak melunturkan semangat ahli ahli NUBE untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap pihak pengurusan dan majikan bank bank yang terlibat.

Hujan renyai renyai juga tidak menghalang ahli NUBE dari menghadiri dan mengambil bahagian dalam piket tersebut dengan membawa sepanduk serta membunyikan wisel sebagai tanda partisipasi mereka di dalam perhimpunan itu.

Piket yang diadakan secara serentak di beberapa buah bandar utama di seluruh Malaysia itu juga telah menjadi bukti bahawa mereka komited dan bertekad untuk berpegang kepada ikrar pekerja pekerja bank yang terlibat bahawa mereka tidak akan berhenti berjuang selagi 10 tuntutan yang dikemukakan pada Piket Daulat itu tidak dapat diselesaikan.

Waktu puncak di Pulau Pinang itu juga menyaksikan orang orang awam yang baru pulang dari kerja turut menyatakan sokongan mereka dengan membunyikan hon kenderaan mereka sewaktu melintasi kawasan piket di hadapan bangunan MWE Plaza.

CJMY berpeluang menemuramah wakil NUBE yang juga Naib Presiden NUBE Malaysia merangkap Pengerusi Cawangan NUBE wilayah utara iaitu saudara Abdul Jamil bin Jalaludeen.

Dalam temuramah tersebut,beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Richard Riot di atas perlantikan beliau sebagai Menteri Sumber Manusia yang baru menggantikan Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang pada beliau gagal dalam menjaga kebajikan warga pekerja Malaysia.

Beliau juga berharap Datuk Richard Riot akan menggunakan kuasa yang diperuntukkan oleh perlembagaan negara untuk campur tangan dalam tuntutan yang dikemukakan oleh NUBE secara adil dan saksama sesuai dengan kapasiti beliau sebagai menteri Sumber Manusia yang baru yang bertanggungjawab menjaga hal kebajikan pekerja.

Perlantikan beliau seolah olah telah memberi nafas serta harapan baru untuk perjuangan NUBE selama ini dalam mempertahankan hak hak pekerja yang ditindas golongan majikan dan pengurusan bank.

Ini semestinya akan mengembalikan keyakinan baru terhadap Kementerian Sumber Manusia yang telah lama lesu dan layu.

Saudara Jamil juga menyatakan harapannya bahawa sesiapa sahaja yang bakal menggantikan Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar sebagai CEO Maybank dapat mendokong hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menjamin hak hak pekerja bank itu.

Sebagai majikan , mereka harus prihatin, dan bukannya sombong dan angkuh untuk mendengar keluhan pekerja pekerja yang hanya menuntut hak mereka yang sah.

Piket berakhir kira kira pukul 7 petang.

Avatar photo

Imran Hilmy

is born and raised in Penang Island and throughout of his younger days has a knack of lyrics and poem writings.Loves to read on history, politics and religions. He believes that he has a role in making this world a better place through his capacity as a Citizen Journalist in CJ.MY.