Lori bawa puatan petrol dan diesel disamun lelaki berseragam polis

Lori bawa puatan petrol dan diesel disamun lelaki berseragam polis

Seorang pemandu lori yang membawa muatan petrol dan diesel disamun di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) sebelum susur keluar ke Kota Damansara dekat sini oleh sekumpulan tiga lelaki termasuk seorang daripadanya memakai seragam polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah berkata dalam kejadian pada pukul 10 pagi semalam, mangsa yang membawa muatan 10,800 liter petrol dan 16,200 diesel sedang dalam perjalanan apabila secara tiba-tiba lori yang dipandunya dipintas oleh sebuah kereta jenis Proton Waja.

Beliau berkata mangsa diarahkan turun dari lorinya sebelum digari manakala matanya ditutup serta dibawa menaiki kereta suspek.

Dia dilepaskan semula kira-kira pukul 2.30 petang pada hari yang sama di hadapan sebuah kilang di Meru, Klang.

“Suspek turut menyamun RM450 wang tunai dan dua unit telefon bimbit milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Media IPK Selangor di sini hari ini.

Mohd Adnan berkata lori mangsa ditemui semula kira-kira 6 petang pada hari yang sama di kawasan perumahan Enstek, Labu di Negeri Sembilan, tanpa sebarang muatan.

Beliau berkata nilai keseluruhan muatan petrol dan diesel yang disamun dianggarkan berjumlah RM47,000.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395/397 dan 170 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan dan bersenjata serta menyamar sebagai penjawat awam yang membawa hukuman penjara 20 tahun sekiranya disabitkan kesalahan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Adnan berkata polis sedang mengesan seorang wanita yang dikenali sebagai Adleena Adriana Abdullah, 43, yang merupakan saksi satu kes penipuan membabitkan seorang pengarah sebuah syarikat,
yang membabitkan kerugian kira-kira RM7 juta.

Beliau berkata alamat terakhir Adleena Adriana ialah di Emerald Service Apartment, Damansara Perdana, Petaling Jaya.

“Penama dikehendaki hadir perbicaraan yang telah ditetapkan pada 4 Ogos iniĀ  di Mahkamah Shah Alam,” katanya.

Mohd Adnan berkata orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkenaan Adleena Adriana diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, DSP Mazelan Paijan di talian 012-3179900 atau 03-79586901 atau mana-mana balai polis berhampiran.

– Bernama