Polis tahan suspek dan mangsa kes culik palsu

Polis tahan suspek dan mangsa kes culik palsu

Polis menahan dua suspek termasuk seorang ‘mangsa’ yang dipercayai terbabit dalam kes merancang penculikan palsu dengan memperdaya bapa ‘mangsa’ untuk membayar wang tebusan sebanyak US$500,000 (kira-kira RM1.5 juta) pada 23 Julai lepas.

Polis menahan dua suspek termasuk seorang ‘mangsa’ yang dipercayai terbabit dalam kes merancang penculikan palsu dengan memperdaya bapa ‘mangsa’ untuk membayar wang tebusan sebanyak US$500,000 (kira-kira RM1.5 juta) pada 23 Julai lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah berkata ‘mangsa’ yang juga suspek itu adalah wanita berumur 23 tahun manakala seorang lagi suspek adalah teman lelakinya warga Nigeria berumur lingkungan 20-an.

Mohd Adnan berkata bapa wanita itu menerima panggilan daripada seorang lelaki kira-kira 3 petang 21 Julai lepas dengan mengatakan anaknya bersama teman lelakinya diculik dan hanya akan dibebaskan jika wang tebusan sebanyak itu
diserahkan.

Beliau berkata bapa wanita itu berada di Kuching, Sarawak ketika menerima panggilan mengenai penculikan itu dan terus membuat laporan polis pada hari yang sama.

“Polis menjalankan siasatan sebaik menerima laporan pada hari itu dan berjaya menahan suspek wanita itu bersama teman lelakinya di sebuah lobi hotel di Pulau Pinang pada 23 Julai lepas.

“Hasil siasatan mendapati pasangan kekasih itu menuntut di sebuah universiti swasta di negara ini. Mereka merancang penculikan palsu itu untuk meminta wang tebusan tersebut kononnya untuk perbelanjaan harian dan membiayai kos pengajian mereka,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Mohd Adnan berkata dua-dua suspek ditangkap tanpa membabitkan pertukaran wang dan mereka ditahan reman di Balai Polis Kajang sehingga 30 Julai ini dan disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961.

Dalam satu kes lain, Mohd Adnan berkata polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berumur 19 tahun yang dipercayai terlibat dalam satu kes samun di sebuah stesen minyak di Seksyen 15 di sini kira-kira 3.15 pagi tadi.

Beliau berkata suspek ditahan di Persiaran Selangor di sini beberapa minit selepas kejadian itu setelah kereta peronda polis mengejar kereta jenis Chevrolet yang dinaiki suspek bersama dua rakannya.

“Suspek ditahan selepas kereta yang dinaikinya terbabas di Persiaran Selangor, bagaimanapun, dua lagi rakannya berjaya melarikan diri,” katanya.

Adnan berkata mengikut siasatan, kumpulan penyamun itu melarikan RM5,000 daripada stesen minyak itu dan polis berjaya merampas beberapa senjata yang dipercayai digunakan dalam kes samun itu.

– Bernama