SM (P) Methodist johan tarian tradisional daerah Klang 2011

Sekolah Menengah (P) Methodist muncul johan dalam Pertandingan Tarian Tradisional Sekolah Rendah Dan Menengah Daerah Klang 2011 yang diadakan di Dewan Hamzah baru-baru ini.

Bagi kategori sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan Meru 2 muncul johan mengalahkan dua sekolah yang lain dan membawa pulang wang tunai RM 300 beserta piala iringan dan sijil.

Pemangku Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Ikhsan Mukri berkata pertandingan yang diadakan itu bertujuan untuk membudayakan tarian tradisional khususnya di kalangan generasi muda.

“Kerjasama majlis bersama pejabat pendidikan daerah, pengetua dan sekolah-sekolah yang terlibat telah menjayakan pertandingan ini dengan begitu cemerlang.

“Malah sambutan daripada orang ramai juga membanggakan dan ini sesuatu yang positif dalam usaha kita mengangkat martabat kesenian di kalangan pelajar,” katanya.

Mengulas lanjut, Ikhsan berkata sebanyak sembilan sekolah menyertai pertandingan itu terdiri daripada tiga sekolah rendah dan enam kategori menengah.

Menurutnya selain menerima hadiah kemenangan, mereka juga berpeluang membuat persembahan di dalam program kebudayaan anjuran pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Berikutan sambutan yang diterima di luar jangkaan daripada peserta dan semua pihak terlibat, kami rancang untuk anjurkan semula pada tahun depan,” katanya.